Jadikan Al-Quran panduan pentadbiran baik kerajaan

Dr Afifi al-Akiti
Dr Afifi al-Akiti
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Al-Quran perlu dijadikan panduan ke arah mewujudkan pentadbiran kerajaan yang terbaik demi kesejahteraan hidup rakyat.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti berkata, sebelum ini, ramai yang melihat negara barat sebagai contoh apabila menyentuh tentang aspek tadbir urus yang terbaik.

Katanya, perkara itu patut diinsafi umat Islam kerana agama Islam telah menyediakan garis panduan terbaik tentang tadbir urus kerajaan.

"Kalau kita rujuk sarjana terkenal politik sains Amerika Syarikat, Francis Fukuyama, beliau menyatakan bahawa pentadbiran yang baik bergantung kepada dua perkara iaitu kemampuan badan pemerintah dan autonomi birokrasi.

"Bagi saya, apa yang disebut beliau ini bukan satu yang mengejutkan kerana beliau samada sedar atau tidak hanya mengikuti kriteria yang sudah disebutkan dalam al-Quran bila memberi contoh pentadbir yang baik iaitu Nabi Musa AS dalam Surah Qasas ayat 26," katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Cultivating Good Governance Between The Muslim World And The West'.

Beliau yang juga Orang Besar Delapan Negeri Perak berkata demikian ketika merasmikan majlis penutup 'Noor Conference' berjudul 'Good Governance: Quest For The Future' anjuran NOOR dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berlangsung secara maya pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Afifi berkata, menerusi al-Quran, ALLAH berfirman bahawa pemimpin perlulah berkebolehan (al-Qawi) ke arah mewujudkan pentadbiran yang baik.

Menurutnya, perkara kedua adalah al-Amin, tentang mewujudkan autonomi birokrasi agar pentadbiran awam yang mentadbir adalah beramanah yang boleh dipercayai dan bebas dari kepentingan parti politik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, apabila Malaysia dapat memenuhi kedua-dua kriteria itu, akan wujud pemerintahan kerajaan yang baik di negara ini.

"Kenapa kita perlu pentadbiran yang baik ini? Kenapa perlu miliki pemimpin yang berkebolehan, profesional dan boleh dipercayai? Ia agar kita mendaulati undang-undang," katanya.

Dr Afifi menegaskan, semua nilai-nilai pentadbiran yang baik juga telah ditunjukkan tamadun Islam sejak dari zaman Nabi Muhammad SAW dan zaman kegemilangan Islam.

Ujarnya, Rasulullah sendiri memberi contoh terbaik untuk diikuti dunia Muslim dan bukan Muslim.

"Nabi Muhammad mengajarkan jika anak baginda, Fatimah az-Zahra mencuri, baginda sendiri akan memotong tangan anaknya. Sunnah baginda ini adalah inspirasi disebalik pepatah Melayu yang terkenal 'biar mati anak jangan mati adat'. Jadi Islam telah membawa nilai moden kedaulatan undang-undang ke seluruh dunia," katanya.