Lif rosak, tujuh mangsa terperangkap diselamatkan

Tujuh mangsa termasuk tiga bayi terperangkap dalam lif di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar pada Jumaat. Foto: Bomba Alor Setar, gambar kecil: Othman
Tujuh mangsa termasuk tiga bayi terperangkap dalam lif di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar pada Jumaat. Foto: Bomba Alor Setar, gambar kecil: Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Penggunaan lif di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, di sini, dihentikan serta merta selepas kejadian tujuh mangsa termasuk tiga bayi terperangkap pada Jumaat.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, tujuh mangsa iaitu seorang lelaki, tiga wanita dan tiga bayi telah terperangkap dalam lif dalam kejadian lebih kurang jam 9.05 pagi.

Dr Othman berkata, siasatan awal Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mendapati, kejadian mangsa terperangkap berlaku akibat masalah teknikal kepada sistem lif tersebut.

"Kejadian tersebut disedari oleh pengawal keselamatan bertugas setelah penggera keselamatan lif berbunyi yang kemudiannya terus mendekati pintu lif dan mendapati ada mangsa terperangkap di dalam lif.

"Pengawal keselamatan berkomunikasi dengan mangsa bagi mengenal pasti keadaan mereka dan meminta untuk bertenang sebelum bantuan tiba," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, pihak klinik telah membuat aduan segera kepada pihak syarikat konsesi penyelenggaraan yang telah dilantik.

"Lebih kurang jam 9.12 pagi, pihak syarikat konsesi penyelenggaraan telah mendapat aduan. Juruteknik bertugas terus menghubungi syarikat lif berkompeten dilantik dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Ujarnya, pihak juruteknik syarikat lif berkompeten dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah tiba pada masa yang sama lebih kurang jam 9.23 pagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, melalui maklumat diterima salah seorang mangsa yang terperangkap juga telah menghubungi pihak JBPM untuk mendapatkan bantuan kecemasan.

Menurut Dr Othman, semua mangsa selamat dikeluarkan selepas pintu lif telah berjaya dibuka lebih kurang jam 9.33 pagi dan semua pihak bersurai lebih kurang satu jam kemudian.

Katanya, seorang mangsa yang mengalami panik telah diberi bantuan perubatan oleh pegawai perubatan bertugas di Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar sebelum dibenarkan pulang selepas stabil.

Dr Othman memaklumkan pada masa kini, lif tersebut telah dihentikan penggunaannya serta-merta sehingga siasatan teknikal selesai serta disahkan selamat digunakan.

"Jabatan ini memohon maaf atas insiden yang berlaku dan akan melakukan siasatan terperinci berkaitan isu berbangkit," katanya.