X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

'Usaha penduduk bantu tumpas jenayah rentas sempadan patut dicontohi'

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
A
A

TAWAU - Kesungguhan penduduk di tiga kampung pesisiran pantai di sini dalam membantu pasukan keselamatan menangani jenayah rentas sempadan patut dicontohi semua pihak, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata, tindakan penduduk Kampung Batu Payung, Kampung Tinagat dan Kampung Membalua menjadi 'mata dan telinga' pihak berkuasa dengan cara menyalurkan maklumat, berhasil menggagalkan pelbagai cubaan jenayah rentas sempadan.

"Baru-baru ini, hasil maklumat mereka pasukan keselamatan berjaya mematahkan cubaan mengedar dadah jenis syabu seberat 303 kilogram bernilai hampir RM11 juta yang merupakan rampasan terbesar di negeri ini.

“Saya sangat bangga dengan sumbangan semua penduduk yang terlibat dan penghargaan perlu diberi kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 32 individu termasuk anggota Rukun Tetangga di Kampung Batu Payung, di sini pada Sabtu.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Apas berkata, kawasan pesisiran pantai kerap menjadi sasaran penjenayah menjalankan kegiatan penyeludupan manusia, barang kawalan serta pengedaran dadah.

“Kawasan DUN Apas misalnya, hampir keseluruhan berada dalam lingkungan pesisiran pantai dan sangat terdedah dengan kegiatan jenayah rentas sempadan, ini menjadi kebimbangan penduduk sejak dari dulu lagi," katanya.

Sementara itu, ujar beliau, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mendirikan pondok kawalan di Kampung Batu Payung sebagai kemudahan kepada anggota yang bertugas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!