Dua beradik menangi cabaran TikTok kemerdekaan

Jewel Chieng Shao Li dan Nathania Chieng Shao Yin menangi Cabaran TikTok ‘Malaysia: Ekspresi Kemerdekaan’ 2021 anjuran KPM sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Jewel Chieng Shao Li dan Nathania Chieng Shao Yin menangi Cabaran TikTok ‘Malaysia: Ekspresi Kemerdekaan’ 2021 anjuran KPM sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
A
A
A

LABUAN - [DIKEMASKINI] Dua murid Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) yang juga adik-beradik iaitu Jewel Chieng Shao Li dan Nathania Chieng Shao Yin telah memenangi Cabaran TikTok ‘Malaysia: Ekspresi Kemerdekaan’ 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Jewel yang berada di Tahun 10, dan Nathania di Tahun 8, merangkul RM1,500 bagi video TikTok mereka yang berjudul ‘Malaysia Is Where My Heart Is’ di bawah kategori sekolah antarabangsa dan kemenangan mereka diumumkan secara maya pada 16 September.

Pertandingan itu, dengan tema ‘Malaysia Di Mataku,’ bertujuan memupuk semangat patriotisme, menghargai kemerdekaan dan kemajuan yang dicapai oleh negara tercinta.

Pengetua LIS, Fadlin Aimuni Binting berkata, kriteria penghakiman termasuk kreativiti peserta, kandungan dan kemahiran menyunting.

“Berbekalkan panduan daripada guru seni persembahan LIS serta ibu kedua-dua beradik iaitu Jessica Lee, Jewel dan Nathania berjaya menarik perhatian hakim dengan nyanyian serta tarian mereka.

“Kandungan video mereka diselang-seli dengan imej rakyat Malaysia, festival kebangsaan dan makanan tradisi. Tidak diragukan lagi, video itu yang memasukkan pemandangan indah di Labuan, turut mempromosi Labuan ke seluruh Malaysia,” katanya.

Jewel pula berkata, Hari Kebangsaan merupakan detik terbaik untuk rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan kepada negara dan saling bekerjasama demi kebaikan negara.

“Marilah kita menghargai semua yang kita miliki dan meraikan kemerdekaan kita... Hari Kebangsaan ialah hari kita memberikan penghormatan kepada negara kita yang indah ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: