Petrol percuma untuk 166 penghantar makanan di Labuan

Seramai 166 orang penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di Labuan mendapat sumbangan minyak petrol bernilai RM30 seorang dan kit makanan daripada MAIWP Labuan. Foto Bernama
Seramai 166 orang penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di Labuan mendapat sumbangan minyak petrol bernilai RM30 seorang dan kit makanan daripada MAIWP Labuan. Foto Bernama
A
A
A

LABUAN - Seramai 166 penghantar makanan bermotosikal daripada syarikat e-hailing Morefun, McDelivery, Pizza Hut Delivery, Domino’s Pizza Delivery dan KFC Delivery di pulau bebas cukai di sini, boleh mengisi petrol secara percuma di stesen Petronas dengan nilai RM30 bermula Sabtu.

Sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan membabitkan peruntukan RM4,980 itu, bagi membantu meringankan beban kewangan golongan berkenaan yang terkesan susulan pandemik Covid-19.

Kesemua penghantar makanan itu menerima sumbangan berkenaan dalam bentuk kad petrol dan mereka boleh menggunakan kad tersebut tanpa tarikh luput sehingga habis nilai RM30 itu digunakan.

Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad berkata, sumbangan itu sebagai menghargai tugas penghantar makanan, yang sepanjang masa bekerja menghantar makanan kepada orang ramai.

“Kita menganggap mereka ini sebagai wira tidak didendang, berkhidmat siang dan malam menghantar makanan kepada kita termasuklah ketika Labuan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka ini kadangkala tersisih daripada pandangan, tetapi mereka perlu diraikan dan semoga bantuan ini dapatlah membantu meringankan beban mereka,” katanya selepas program penyampaian kad petrol dan kit makanan di Terminal Feri Antarabangsa Labuan di sini pada Sabtu.

Pada program berkenaan, kesemua penghantar makanan itu turut menerima kit makanan mengandungi beras, gula, minyak, mihun, biskut, kopi dan makanan tin serta pek makanan Kentucky Fried Chicken (KFC) daripada QSR Brands Berhad. - Bernama

Artikel Berkaitan: