Gelembung pelancongan kesihatan 'jambatan' survival industri di Melaka

Inisiatif gelembung pelancongan kesihatan mampu jadi 'jambatan' kepada proses rancakkan semula aktiviti pelancongan dan kesihatan di Melaka, sementara menunggu peralihan Melaka ke Fasa 3 PPN dijangka Oktober ini. - Foto 123RF
Inisiatif gelembung pelancongan kesihatan mampu jadi 'jambatan' kepada proses rancakkan semula aktiviti pelancongan dan kesihatan di Melaka, sementara menunggu peralihan Melaka ke Fasa 3 PPN dijangka Oktober ini. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Inisiatif gelembung pelancongan kesihatan mampu menjadi 'jambatan' kepada proses merancakkan semula aktiviti pelancongan dan kesihatan di negeri ini, sementara menunggu peralihan Melaka ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka pada Oktober ini.

Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah Wey Lee berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam yang bakal menjadi hab parkir ambulans udara juga seolah 'batu loncatan' untuk menjayakan inisiatif itu.

Beliau berkata, hab yang menyediakan khidmat penerbangan membawa dan memindahkan pesakit itu, pastinya menjadi pilihan pesakit yang ingin mendapat rawatan di tiga hospital swasta dan satu hospital kerajaan di negeri ini.

"Saya rasa pelancongan kesihatan domestik tiada menjadi masalah malah perlu dipergiatkan kerana kita sudah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk ujian PCR (Tindak Balas Berantai Polimerase) pada hari pertama, keenam dan ke-14 ke atas pesakit bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.

"Kita juga minta kalau boleh perkhidmatan ini dipanjangkan ke Indonesia menerusi pergerakan 'sewa khas' memandangkan permintaan mendapatkan rawatan di Malaysia, khususnya Melaka sangat tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, adalah suatu yang merugikan sekiranya gelembung pelancongan kesihatan ini tidak dimanfaatkan kerana pembangunan teknologi kesihatan Melaka sedang giat dipertingkatkan, termasuk kaedah rawatan berasaskan ultrabunyi High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) pertama di negara ini khusus untuk menangani masalah ginekologi seperti adenomiosis dan fibroid.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh, Tan Yew Aik berkata, inisiatif tersebut perlu diberi perhatian memandangkan pesakit kronik kini terpaksa mencari alternatif dalam mendapatkan rawatan, termasuk berdepan prosedur sangat ketat serta kos berlipat kali ganda berbanding sebelum ini.

"Rata-rata pesakit kami dari Indonesia dan Singapura serta dari daerah sekitar sempadan negeri Melaka. Apabila sempadan ditutup, mereka mengeluh kerana akses mendapatkan rawatan menjadi sukar, jadi amat wajar inisiatif itu diberi perhatian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pesakit kronik berkaitan saraf (neuro), kanser serta depresi antara yang terkesan sejak sempadan negara dan negeri ditutup, disebabkan kos rawatan di negara asal lebih tinggi berbanding di Malaysia.

"Dari sudut lain, perkhidmatan gelembung pelancongan kesihatan juga memberi peluang kepada pihak kami meningkatkan kualiti rawatan dengan menambah bilangan pakar subkepakaran di beberapa jabatan seperti neonatologis, geriatrik (warga emas) dan respirasi.

"Pada masa sama, kami memaksimumkan penggunaan konsultasi secara dalam talian iaitu e-Health yang membolehkan pesakit di luar negara berinteraksi dengan doktor mereka di sini di samping melakukan penghantaran ubatan secara kurier," katanya. - Bernama