RMK12: Kerajaan dicadang tambah pemberian peranti PdPR

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memperbanyakkan pemberian peranti kepada golongan B40, menambah blok bangunan atau sekolah baharu dan memperuntukkan lebih banyak komputer di sekolah bagi tujuan pembelajaran adalah antara cadangan dikemukakan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang mencadangkan perkara itu berkata, dengan mengambil kira situasi pandemik Covid-19, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dijangka akan tetap diteruskan.

Selain itu, capaian kepada akses internet khususnya di kawasan pedalaman dan pulau juga antara yang perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan bagi membolehkan pelajar di kawasan tersebut dapat mengikuti sesi PdPR dengan lebih baik.

“Memandangkan sekolah juga telah lama tidak digunakan, kerajaan juga mungkin boleh memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf atau memperbaiki infrastruktur sekolah bagi keselesaan pelajar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi pada Sabtu.

Alimuddin berkata, PdPR merupakan inisiatif pembelajaran yang baik dan perlu diteruskan negara seperti yang dilaksanakan di negara lain antaranya United Kingdom dan Eropah.

Mengenai penambahan blok bangunan atau sekolah baharu, Alimuddin menjelaskan, ia adalah bagi mematuhi penjarakan fizikal khususnya bagi sekolah di bandar yang mempunyai jumlah kepadatan pelajar yang tinggi.

“Jika jumlah pelajarnya tidak terlalu ramai, tidak menjadi masalah namun ada juga ibu bapa yang ragu-ragu soal keselamatan anak. Jika dapat ditunjukkan kepada mereka sesi pembelajaran secara fizikal yang mematuhi SOP (prosedur operasi standard) iaitu penjarakan fizikal, maka tiada sebab untuk ibu bapa berasa bimbang,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata, bagi menjayakan PdPR, kerajaan dicadang untuk menambahkan lagi pemberian peranti secara sekali beri atau menawarkan kaedah sewa beli kepada ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap agar peruntukan kepada Kementerian Pendidikan tidak berkurangan selain kaedah PdPR dinaik taraf bagi merapatkan jurang kualiti pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“PdPR perlukan peruntukan khas selama lima tahun kerana kita akan menerima hakikat bahawa pandemik yang kita lalui ketika ini akan menjadi endemik. Selain itu, kerajaan juga perlu menumpukan kepada soal pemerkasaan guru dengan menyediakan lebih banyak latihan bagi meningkatkan lagi kemahiran,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual membentangkan RMK12 bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang akan menjadi landasan hala tuju pembangunan lima tahun negara di Dewan Rakyat pada Isnin. - Bernama