Kebenaran rentas negeri dimuktamadkan tiga minggu lagi: Hishammuddin

 Kebenaran untuk rentas negeri dijangka dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi.
Kebenaran untuk rentas negeri dijangka dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Kebenaran untuk rentas negeri dijangka dimuktamadkan dalam masa tiga minggu lagi, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan sasaran 90 peratus penduduk divakasinasi dalam tempoh tersebut tercapai.

Hishammuddin melihat proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Sabtu.
Hishammuddin melihat proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, Johor Bahru, pada Sabtu.

"Antara tindakan segera yang akan dilaksanakan ATM ialah mengatur gerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu KKM memvaksin masyarakat di kawasan pendalaman.

"ATM juga diarahkan memperluaskan program vaksinasi pandu lalu yang dilaksanakan Kementerian Pertahanan kepada orang awam," katanya, kepada pemberita selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja (6RRD), Kem Ulu Tiram, di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan membayangkan kebenaran untuk merentas negeri dalam beberapa minggu lagi.

Sehingga 22 September lalu, sebanyak 81 peratus populasi dewasa dalam negara telah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 dan dalam beberapa minggu sahaja lagi boleh mencapai kadar 90 peratus untuk mendapatkan kelonggaran rentas negeri itu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebelum rentas negeri diumumkan, banyak perkara yang perlu difikirkan daripada segi prosedur operasi standard (SOP) serta tanggungjawab agensi dalam melaksanakan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

"SOP rentas negeri kita akan umumkan sebelum kebenaran rentas negeri dan ia akan diperincikan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri minggu depan," katanya.

Dalam pada itu itu, beliau berkata, disiplin orang ramai akan menjadi elemen paling penting apabila dibenarkan merentas negeri.

Katanya, mustahil untuk kerajaan memantau dan menjaga setiap rakyat yang diberi kebebasan itu.