MEDAC rancang pelan tindakan dalam masa terdekat bantu usahawan

Noh Omar
Noh Omar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan terus merancang pelan tindakan dalam masa terdekat bagi memandu, mengurus dan melahirkan ‘bangsa usahawan’ menerusi kerjasama pelbagai institusi dan agensi khususnya di bawah kementerian itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, tumpuan kementerian juga akan lebih menjurus kepada usaha membantu empat kumpulan sasar yang pada masa ini terjejas ekoran pandemik Covid-19, antaranya usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan yang diberhentikan kerja dan mahasiswa yang tiada pekerjaan tetapi ingin menjadi usahawan serta koperasi.

“Ini merupakan inisiatif MEDAC sebagai menzahirkan pencapaian seawal tempoh 100 hari pertama dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan koperasi yang secara tidak langsung akan membina Keluarga Malaysia yang inklusif agar kemakmuran boleh dinikmati semua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Noh berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2021 secara maya yang menghimpunkan 910 perwakilan individu dan koperasi di seluruh negara.

Sementara itu, Bank Rakyat menyasarkan untuk melahirkan ‘bangsa usahawan’ seiring dengan aspirasi MEDAC menerusi pelaksanaan pelbagai program latihan selain menyediakan pembiayaan untuk golongan sasaran itu.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata, sebagai agensi di bawah MEDAC, ia membolehkan bank meraih keuntungan dengan mengakses rangkaian PKS dan koperasi serta menyumbang kepada aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2030) dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKoM) 2021-2025.

“Bank Rakyat akan mendokong usaha kerajaan untuk memacu pendigitalan ekonomi, selari dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

“Ini dibuktikan dengan usaha digitalisasi Bank Rakyat seperti pengenalan sistem perbankan teras baharu CoBRA pada 12 Oktober 2020, platform perkhidmatan perbankan digital Quick Response to Entrepreneurs (QR2E) untuk usahawan pada 17 Mac 2021, perkhidmatan janji temu atas talian pada Julai dan Ogos 2021 dan yang terkini, aplikasi mudah alih iRakyat yang bakal dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai agensi di bawah MEDAC, Bank Rakyat menyediakan pelbagai program dan bantuan kewangan kepada individu, usahawan mikro dan PKS seperti RAKYATpreneur, UNIpreneur, kempen BR Cares dan Biz-Lady. - Bernama