Usaha kawal, cegah polio hasil kolaboratif semua pihak: Khairy

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kejayaan mengawal dan mencegah wabak polio di negara ini dicapai hasil kolaboratif pelbagai pihak termasuk ibu bapa serta penjaga yang membenarkan anak jagaan mereka divaksin.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan negeri adalah agensi utama yang telah bersama Jabatan Kesihatan Negeri dalam perancangan tindakan kawalan dan pencegahan wabak selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Negeri, agensi media dan badan profesional.

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat termasuk wakil rakyat turut sama menjalankan aktiviti promosi dan pendidikan kesihatan berkaitan bahaya penyakit polio, kaedah kawalan dan pencegahannya.

“Selain itu, pasukan keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam urusan penyediaan lokasi dan logistik pemberian imunisasi polio, manakala Kementerian Pendidikan Malaysia (KKM) membantu dalam urusan gerak kerja kempen.

"Tidak lupa juga penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang telah membenarkan anak atau anak jagaan mereka untuk divaksin sehingga penularan virus polio berjaya dihentikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan wabak polio di Malaysia diisytihar tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada KKM pada 10 September lalu.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, NGO yang terlibat secara aktif di lapangan pula termasuk Rotary Club, Lions Club, Tzu Chi, Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

“Di samping itu, anggota kesihatan swasta turut menyumbang tenaga di dalam kempen imunisasi polio, pendidikan kesihatan dan pengesanan kes.

Artikel Berkaitan:

“Ada juga sukarelawan komuniti yang terdiri daripada individu dalam masyarakat bertindak sebagai ejen kesihatan dengan memberi penerangan berkaitan penyakit polio dan kempen dari rumah ke rumah serta mengedarkan pelbagai bahan pendidikan kesihatan kepada masyarakat.

“Segala sumbangan yang diberikan adalah amat bernilai untuk negara,” katanya.

Justeru, beliau berharap kerjasama dan kolaboratif yang telah dilaksanakan itu dapat diteruskan, bukan sahaja dalam usaha memastikan Malaysia kekal bebas polio secara khususnya bahkan dalam usaha pencegahan penyakit secara amnya.