Piala Malaysia: KUFC akan beri saingan sengit

Che Abdullah - Foto fail Bernama
Che Abdullah - Foto fail Bernama
A
A
A

PRESIDEN Kelantan United (KUFC), Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan pasukannya itu sebagai bukan pasukan pilihan apabila diundi dalam Kumpulan C, selepas berjaya melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun Che Abdullah berkata, pasukan berkenaan akan memberi saingan sengit pada setiap perlawanan yang merupakan medan baharu kepada setiap pemain KUFC untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik dari Liga Super dan Premier.

“Bermain dalam kempen Piala Malaysia bukan sesuatu yang mudah, kerana ia akan berlaku banyak kejutan dan perubahan kepada corak permainan pasukan-pasukan yang bertanding untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya sehingga ditabal sebagai juara.

“Kita (KUFC) adalah pasukan terakhir dari Liga Premier, jadi kita bukan pasukan pilihan namun akan memberikan saingan sengit pada perlawanan yang akan dilalui,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, beliau tidak mahu para pemain KUFC terlalu tertekan menghadapi kempen Piala Malaysia, sebaliknya perlu bermain dengan sedaya upaya yang mampu.

“Apa yang penting kita mahukan keputusan positif setiap perlawanan di peringkat kumpulan walaupun sedar ia memerlukan kerja keras dan komitmen yang tinggi,” katanya.

KUFC berjaya merebut slot ke Piala Malaysia selepas berjaya menewaskan Kuching City FC 3-1 pada perlawanan terakhir saingan Liga Premier dan diundi bersama juara Liga Premier Negeri Sembilan dan dua pasukan dari Liga Super iaitu Kedah dan Melaka United dalam Kumpulan C. - Bernama

Artikel Berkaitan: