Industri acara perniagaan makin tenat

Irmohizam
Irmohizam
A
A
A

SHAH ALAM - Data Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) yang menganggarkan kerugian melebih RM4.05 bilion membuktikan acara perniagaan semakin tenat dan terkesan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata, kerajaan perlu memberi peluang kepada industri acara perniagaan beroperasi supaya mereka dapat bertahan.

Menurutnya, WTC KL berperanan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang berjaya memberi vaksin lebih daripada 1.25 juta dos dengan jumlah kehadiran mencecah 21,000 penerima sehari.

“WTC KL dan semua kakitangan juga sudah lengkap menerima vaksin dan sepanjang tempoh ini tiada seorang pun pekerja yang dibuang walaupun syarikat mengalami masalah ekonomi.

“Industri perniagaan adalah penyelamat bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Irmohizam berkata, pihaknya berbesar hati melaksanakan percubaan bagi pembukaan industri mengikut fasa bermula Oktober dengan permulaan seramai 50 peratus pengunjung.

Jelasnya, sekiranya industri itu dibenarkan beroperasi pada fasa keempat, ia sudah terlambat kerana penderitaan rakyat bukan sahaja membabitkan kerisauan terhadap pandemik Covid-19 malah ekonomi.

“Penelitian bersama antara kerajaan dan pemain industri amat penting dan cadangan garis panduan seperti pematuhan SOP yang ketat, had kehadiran pengunjung, kawalan jarak pergerakan memastikan sistem ventilasi yang diperiksa, pengesanan kontak serta kebersihan persekitaran wajar diambil kira,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: