Sistem pengesanan bersepadu latihan kemahiran negara diwujudkan

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sistem pengesanan bersepadu latihan kemahiran negara akan diwujudkan bagi memantau keberkesanan latihan kemahiran yang disediakan penyedia latihan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Saravanan berkata, beliau telah mengemukakan cadangan pelaksanaan sistem yang akan diterajui Kementerian Sumber Manusia (KSM) itu, dalam mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (NEC) baru-baru ini.

“Sistem ini akan bertindak sebagai platform untuk melihat impak latihan yang diterima oleh peserta kursus dari segi peningkatan kemahiran, pengetahuan serta dapat menunjukkan peningkatan kerjaya atau pendapatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, data dalam sistem tersebut juga boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada kemajuan peserta kursus untuk menyambung program latihan yang diikuti pada masa akan datang.

“Sistem ini juga berfungsi sebagai profil kepada pekerja atau individu berdasarkan kepada latihan yang telah mereka jalani, dalam latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian serta latihan semula dalam negara,” katanya.

Saravanan berkata, mekanisme pelaksanaan sistem pengesanan bersepadu itu, akan dibentangkan bersama dengan cadangan platform digital sehenti bagi latihan peningkatan kemahiran dan kepelbagaian kemahiran, untuk pertimbangan dan persetujuan mesyuarat NEC akan datang.

Menurut Saravanan beliau memandang serius impak latihan kepada kebolehpasaran pekerjaan terutama dalam keadaan semasa yang mencabar.

“Adalah menjadi harapan saya terhadap para penyedia latihan untuk menyediakan dan menjamin peluang pekerjaan kepada peserta selepas tamatnya latihan, tanpa tertumpu untuk meraih keuntungan semata-mata,” katanya yang mahu kadar pengangguran dikurangkan dan lebih ramai mendapat pekerjaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: