KDA FC tidak pandang rendah cabaran pasukan Liga Perdana

Semua pemain KDA FC kini sedang fokus untuk meningkatkan prestasi semasa terutamanya menjelang aksi pertama bertemu Kelantan United FC pada 27 September di Alor Setar. - Foto KDA FC
Semua pemain KDA FC kini sedang fokus untuk meningkatkan prestasi semasa terutamanya menjelang aksi pertama bertemu Kelantan United FC pada 27 September di Alor Setar. - Foto KDA FC
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah Darul Aman (KDA) FC tidak memandang rendah kepada cabaran pasukan Liga Perdana dalam saingan Piala Malaysia 2021 kerana pelbagai kemungkinan boleh sahaja terjadi.

Ketua jurulatih KDA FC, Aidil Sharin Sahak berkata, diundi dalam kumpulan C bersama Melaka United FC, Negeri Sembilan FC dan Kelantan United FC, beliau akan membuat perubahan strategi pada setiap perlawanan yang akan dihadapi mereka.

Menurutnya, beliau juga mengharapkan agar pada dua aksi awal di laman sendiri bertemu Kelantan United FC pada 27 September dan Melaka United FC pada 30 September di Stadium Darul Aman, Alor Setar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh anak-anak buahnya.

"Pada saya, kami tetap menghormati Kelantan United FC yang akan hadir (pada aksi pertama) dengan kekuatannya selepas layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.

"Mentaliti kita juga perlu berubah apabila bertemu pasukan yang berada lebih bawah kedudukan dalam carta kerana corak permainannya akan berbeza. Mereka akan memberikan segala-galanya untuk mencapai tahap terbaik dalam Piala Malaysia," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, Hijau Kuning seharusnya tidak ambil mudah pada dua perlawanan awal dalam kumpulan C ini dan beliau percaya pemain-pemainnya tidak akan mensia-siakannya.

Menurutnya, semua pemainnya kini sedang fokus untuk meningkatkan prestasi semasa terutamanya menjelang aksi pertama bertemu Kelantan United FC.

"Ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar dan juga Rizal Ghazali juga pastinya bermotivasi tinggi selepas mereka terpilih untuk mengikuti kem latihan bersama skuad kebangsaan negara selepas ini.

Artikel Berkaitan:

"Baddrol beberapa tahun tidak bersama skuad Harimau Malaya dan dengan peluang yang diperolehnya pada musim ini pastinya beliau akan dapat membuktikan kemampuan di samping peningkatan motivasi yang dia peroleh ketika ini," ujarnya.

Tambahnya, bagi aksi Piala Malaysia kali ini ada sedikit perbezaan kerana beliau akan cuba melakukan beberapa pertukaran supaya pemain dapat menyesuaikan diri dengan posisi masing-masing.