Banjir: PPS Bukit Belimbing ditutup

Anggota APM melihat keadaan sebuah rumah di Kampung Lubuk Jaya sudah kembali surut pada Sabtu.
Anggota APM melihat keadaan sebuah rumah di Kampung Lubuk Jaya sudah kembali surut pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing ditutup secara rasmi pada Sabtu.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, PPS yang menempatkan seramai 54 mangsa daripada 13 keluarga ditutup pada jam 12.30 tengah hari.

Menurutnya, kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah mendapat kelulusan Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Abdul Raji yang juga Pengerusi Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor.

"Ketetapan ini dibuat setelah mengambil kira faktor cuaca yang baik dan penurunan paras kenaikan air terutama di beberapa kawasan Kuala Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Maizura memberitahu, pihaknya amat menghargai pengorbanan semua petugas banjir yang bekerja tanpa mengira waktu bagi melancarkan segala keperluan dan pengurusan banjir di daerah berkenaan.

"Fenomena banjir ini berlaku sejak 19 September lalu dan mereka telah menunjukkan komitmen penuh dalam menjalankan tugas bagi membantu mereka yang terjejas," katanya.

Menurutnya, pihaknya sentiasa bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku bencana serupa pada masa depan.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, sebanyak tiga PPS sudah ditutup iaitu di SK Pasangan, SK Sultan Abdul Aziz dan SK Parit Mahang.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu lalu, SK Rantai Panjang menjadi PPS pertama ditutup berikutan paras air di Kampung Rantau Panjang kembali surut.