KPKT rancang bina dua PPR di Pulau Pinang

Reezal (depan kanan) diiringi Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud (dua dari kiri) dan Jagdeep (kiri) ketika lawatan kerja di MBSP pada Sabtu.
Reezal (depan kanan) diiringi Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud (dua dari kiri) dan Jagdeep (kiri) ketika lawatan kerja di MBSP pada Sabtu.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Pulau Pinang bakal menerima dua buah Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menampung penduduk yang memerlukan kediaman di negeri ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, bagaimanapun perancangan itu akan diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) kelak.

Menurutnya, mengikut perancangan, dua projek PPR berkenaan akan dibangunkan masing-masing di kawasan tanah besar dan pulau.

"Jika kita lihat dari segi peratusan jumlah PPR, peratusan di Pulau Pinang amat rendah. Ada kewajaran dan munasabah untuk membawa projek PPR ke Pulau Pinang. Di peringkat awal, saya sudah memberi jaminan bahawa dalam RMK-12 saya peruntukkan dua projek PPR untuk Pulau Pinang.

"Ia melibatkan satu (projek) di seberang dan satu lagi di pulau. Di seberang, kita dapati di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) belum ada projek PPR daripada KPKT," katanya pada sidang akhbar ketika sesi lawatan ke Majlis Bandaraya Seberang Perai di sini pada Sabtu.

Kata Reezal lagi, projek PPR yang terakhir oleh KPKT adalah PPR Tok Suboh di Bukit Minyak, Simpang Ampat yang dilaksanakan secara sewa beli.

"Dengan rancangan dua PPR oleh KPKT ini, ia adalah untuk golongan B40 membeli rumah. Bagi daerah SPU dan SPT, hasil kajian pendapatan mendedahkan, 45 peratus daripada golongan bawah B40 dan B40 di Pulau Pinang datang dari kedua-dua daerah ini.

"Oleh itu adalah wajar sebuah projek PPR dilaksanakan di kawasan tersebut manakala sebuah lagi di kawasan pulau. Kita akan umumkan lokasi projek ini nanti. Kerajaan negeri serahkan lima lokasi cadangan dan saya akan perhalusi dahulu selain akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu pembangunan bandar baharu yang dibangkitkan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo, Reezal berkata, KPKT sedang merancang garis panduan pelaksanaan pembangunan semula tersebut.

"Banyak kawasan yang ada bangunan seperti bangunan empat tingkat, maka tiada ruang untuk buat pembangunan lagi. Kita tidak boleh meruntuhkannya kerana terikat dengan Akta Pemilikan dan Pengurusan Strata.

"Oleh itu, kita perlukan satu hala tuju, dasar dan garis panduan baru. Pada waktu ini, kita sedang melihat garis panduan yang baharu. Saya juga telah meminta satu libat urus dengan semua pihak berkepentingan untuk mula mencari pendekatan dan menggubal dasar baru.

"Dasar ini telah digunakan di beberapa buah negara antaranya Hong Kong, Singapura dan Australia. Kita akan perhalusi model dasar yang dilakukan di negara tersebut," katanya.