Musa Aman hadapi 16 pertuduhan baharu

Dakwaan ke atas Musa dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman didakwa 16 pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini iaitu melibatkan diri secara tidak langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima berjumlah lebih AS$37.8 juta dan SG$2.5 juta.

Musa, 67, yang bersut biru dan songkok serta bertongkat mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Sebelum pertuduhan dibacakan, peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa memohon anak guamnya dibenarkan untuk duduk di kandang tertuduh sepanjang pertuduhan dibacakan kerana beliau mengalami masalah kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dokumen kes Musa Aman belum lengkap: Pendakwaan

Musa Aman kecewa, tetapi hormati keputusan mahkamah

Mengikut pertuduhan pertama, Musa didakwa melibatkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan seorang individu iaitu Richard Christopher Barnes untuk membuka satu akaun untuk menerima hasil dari aktiviti haram.

Adun Sungai Sibuga itu turut dituduh pertuduhan alternatif iaitu mengarahkan individu sama membuka akaun atas nama individu tersebut bagi menyembunyikan hasil daripada aktiviti haram yang mana kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di UBS AG Bank Singapura pada 21 Jun 2006.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua hingga kesembilan dan ke-11 hingga ke-15, Musa didakwa secara tidak langsung membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima US$37,845,491.60 daripada beberapa individu melalui akaun atas nama Richard di mana jumlah itu adalah dari hasil aktiviti haram tertuduh.

Bagi pertuduhan ke-10 Musa didakwa atas tuduhan sama iaitu menerima SG$2.5 juta atas sebab yang sama.

Individu dan syarikat terbabit ialah Chia Tien Foh, Young Generation Corp, Lo Man Heng, Mazlan Zakaria, Axon Group Ltd, Well Capital Finance Limited, Innovative Information Ltd dan Portland Trading Pte Ltd.

Bagi pertuduhan ke-16 Musa didakwa cuba untuk membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard untuk memindahkan kesemua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun Richard ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana kesemua aset dan kemasukan wang akan datang adalah hasil dari aktiviti haram.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di UBS AG Singapura dan Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China, antara 21 Jun 2006 hingga 14 Jun 2008.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 15 April depan dan mahkamah tidak mengenakan ikat jamin kerana mengguna pakai jaminan terdahulu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran manakala Musa diwakili peguam Francis Ng dan Amer Hamzah Arshad.

Pada 5 November, Musa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 35 pertuduhan memperoleh rasuah konsesi balak membabitkan jumlah AS$ 63.3 juta (RM263 juta) 13 tahun lalu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia