Gajikan 45 PATI, tauke kilang pakaian warga Bangladesh ditahan

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan tersebut.
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan tersebut.
A
A
A

AMPANG - Seorang pengusaha kilang pakaian warganegara Bangladesh ditahan bersama 45 pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di dua buah premis, di sini pada Khamis.

Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek yang berusia 46 tahun itu dipercayai menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diperoleh secara haram melalui sindiket ID Hack yang ditumpaskan pada April lepas.

Menurutnya, suspek dengan kerjasama warga tempatan menubuhkan syarikat dan mengambil pekerja yang terdiri daripada PATI untuk memaksimumkan keuntungan.

"Syarikat suspek aktif dalam bidang industri pembuatan pakaian untuk pasaran Lembah Klang dan sekitar Selangor sejak tahun 2012.

"Syarikat milik suspek dianggarkan berjaya mengaut keuntungan lumayan melalui perolehan jualan antara RM130,000 hingga RM150,000 sebulan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Khairul Dzaimee berkata, suspek menyewa beberapa buah premis komersial untuk dijadikan kilang, hostel termasuk pusat pameran serta menggajikan 45 orang warga asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.

Suspek menyewa beberapa premis komersial untuk dijadikan kilang.
Suspek menyewa beberapa premis komersial untuk dijadikan kilang.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 56 tahun dengan anggaran bayaran gaji seorang sebanyak RM1,600 sebulan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, pasukan operasi turut merampas sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil jualan harian dan beberapa dokumen syarikat, sijil pemilikan kenderaan sertta kad ATM.

"Berdasarkan kad ATM yang dirampas, suspek dipercayai telah menyimpan hasil keuntungan yang masih belum dipastikan jumlahnya menerusi beberapa akaun di bank-bank tempatan," katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua tahanan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

"Suspek dan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun yang merupakan pengarah syarikat disiasat atas kesalahan menggaji pekerja asing tanpa pas yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63," ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua mereka turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001(Akta 613) dan Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007.