Pulau Tioman laksana SOP mulai 28 September

Pulau Tioman.- Foto 123rf
Pulau Tioman.- Foto 123rf
A
A
A

KUANTAN- Kebenaran melancong ke Pulau Tioman di bawah program gelembung pelancongan yang dijadual bermula 1 Oktober akan ditangguhkan ke pertengahan Oktober.

Keputusan yang dibuat kerajaan persekutuan itu adalah selaras dengan larangan rentas negeri yang dikenakan sehingga kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Sekalipun gelembung pelancongan untuk Pulau Tioman masih belum boleh dilaksanakan dan kebenaran masuk hanya kepada pelancong domestik, namun segala prosedur operasi standard (SOP) sepertimana di Langkawi akan dilakukan.

Pengurus Besar Tourism Pahang Kamaruddin Ibrahim berkata, perlaksanaan SOP tersebut akan bermula pada 28 September ini di Jeti Teluk Gading, Rompin (sebelum ini dikenali sebagai Jeti Tanjung Gemuk).

Katanya, penggunaan SOP penuh pasca gelembung pelancongan untuk Pulau Tioman ini bertujuan sebagai percubaan pengendaliannya dan persediaan menghadapi situasi ketika pembukaan sebenar kepada pelancong.

"Tempoh yang diberi kepada kita nanti, kalau kita tidak buat persediaan lebih awal, akan ada perkara-perkara yang mungkin menyebabkan SOP kita ini tidak dapat diselaraskan ataupun diuruskan dengan baik.

"Jadi, tarikh 28 September ini kita anggap sangat sesuai. Dan kita ada masa lebih kurang dua atau tiga minggu selepas itu untuk kita benar-benar melaksanakan program gelembung pelancongan sepertimana yang diumumkan kerajaan," katanya.

Setiap penumpang feri perlu membuktikan bahawa mereka sudah pun menerima suntikan vaksin lengkap dua dos dan melakukan ujian swab dengan mendapat keputusan negatif sebelum dibenarkan menaiki feri.

Artikel Berkaitan:

Tambah Kamaruddin, pelaksanaan SOP di pintu masuk Pulau Tioman itu nanti akan turut diguna pakai bagi lokasi-lokasi tumpuan lain seperti Cameron Highlands, Bukit Fraser, Kuala Gandah, Taman Negeri dan Taman Negara yang telah bersedia menerima pelancong.

Terdapat kira-kira 103 hotel di Pulau Tioman yang berdaftar dengan kapasiti 1,821 bilik, serta memiliki 30 pusat selam skuba dengan 88 pemandu bot, bersedia sepenuhnya untuk beroperasi.

Menurut rekod, kadar vaksinasi 2,200 penduduk Pulau Tioman telah pun mencapai 100 peratus sejak Julai lalu. - Awani