X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

747 orang asli Terengganu terima vaksin Covid-19

Dr Kasemani (dua dari kiri) menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang penerima di Sungai Berua pada Sabtu.
A
A

HULU TERENGGANU - Terengganu memperluaskan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada masyarakat orang asli di negeri ini melibatkan 747 orang.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu meliputi 327 orang asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu, 398 orang di Sungai Pergam, Kemaman dan 22 orang di Hulu Besut.

"Selepas selesai di Sungai Berua, Hulu Terengganu hari ini, pemberian vaksin akan diteruskan kepada masyarakat orang asli di Sungai Pergam, Kemaman pula pada esok.

"Semua orang asli yang layak divaksin di dua buah perkampungan ini menerima vaksin jenis CanSino," katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada orang asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di sini pada Sabtu.

Selain pemberian vaksin Covid-19, program yang turut mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Menurut Dr Kasemani, sebelum ini pihaknya sudah memberikan vaksin Covid-19 kepada 22 orang asli di Kuala Sayap, Hulu Besut pada bulan lepas.

Sementara itu seorang penerima, Sam Kulim, 31, berkata, sebelum ini dia tidak berminat untuk menerima vaksin namun mengubah fikiran demi keselamatan diri dan keluarga.

"Banyak cerita buruk pasal vaksin menyebabkan kami rasa takut tetapi apabila tengok keadaan wabak makin teruk, saya akur demi kebaikan bersama,"katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Berua, Alias Pelong pula berkata, sebelum ini dia berdepan cabaran dalam memujuk penduduk di sana menerima vaksin Covid-19 berikutan berita negatif mengenai vaksin.

Alias
Alias

"Antara cerita negatif yang mereka dengar adalah suntikan ini boleh membawa maut. Tapi saya sentiasa jelaskan kepada mereka supaya jangan percaya kerana itu adalah mitos.

"Bagi pihak orang asli, saya harap suntikan vaksin ini memudahkan kami menjalani kehidupan seharian yang sebelum ini tertangguh kerana orang ramai takut untuk berurusan dengan kami," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!