X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

[VIDEO] Beruang matahari masuk perangkap Perhilitan

Beruang matahari jantan yang masuk perangkap dipasang Perhilitan di Kampung Rahmat, Chalok, Setiu - Foto ihsan pembaca
A
A

SETIU - Seekor beruang matahari ditemui memasuki perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) di Kampung Rahmat, Chalok, di sini, pagi Sabtu.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof, berkata, penduduk menyedari perkara itu kira-kira jam 6 pagi Sabtu, selepas perangkap berkenaan dipasang pada 22 September susulan aduan awal diterima pada 20 September.

Beliau berkata, pihaknya memasang perangkap selepas menerima aduan penduduk yang ternampak haiwan itu berkeliaran dan merosakkan buah-buahan dan binatang ternakan di kawasan perkampungan berkenaan.

"Bagaimanapun, beruang matahari jantan dengan anggaran berat 65 kilogram itu hanya memasuki perangkap selepas dialihkan dari lokasi asal dipasang iaitu kira-kira 100 meter berhampiran rumah penduduk.

“Beruang matahari berbahaya dan boleh mencederakan jika rasa terancam kerana haiwan ini memiliki kuku tajam, menyebabkan penduduk bimbangkan keselamatan mereka.

“Kita akan lakukan pemeriksaan kesihatan terhadap beruang ini dan jika disahkan sihat, ia akan dilepaskan ke kawasan pelepasan hidupan liar Sungai Deka, Hulu Terengganu.

Sementara itu, salah seorang penduduk kampung yang ditemui, Che Azharuddin Che Othman, 39, berkata, sebelum ini haiwan liar tersebut telah menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah dan memakan 20 ekor burung merpati peliharaannya.

"Melihat kecederaan kesemua burung merpati yang mati itu, saya yakin haiwan peliharaan ini diserang binatang buas. Lebih- lebih lagi saya nampak keadaan pagar rumah yang dirosakkan.

"Kami yakin haiwan ini tinggal di hutan dan di ladang kelapa sawit berhampiran kampung kerana sebelum ini pernah beberapa kali penduduk setempat terserempak dengan beruang matahari yang berkeliaran di kawasan kampung," katanya kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Seorang lagi penduduk ditemui, Mohd Sufian Awang, 39, berkata, binatang buas ini disedari mula 'mengganas' sejak tiga minggu lalu selepas didapati mengganggu tanaman penduduk. Apa yang lebih menakutkan, beberapa penduduk kampung mengadu kediamaan mereka sudah diceroboh haiwan tersebut.

"Pernah jiran saya sebelum ini mengadu buah cempedak yang dilonggokkan di hadapan rumahnya untuk dijual kepada peraih habis dirosakkan dan dimakan dipercayai perbuatan haiwan liar ini.

"Memang jika diikutkan sebelum ini setiap kali musim buah, kami kerap terserempak dengan haiwan liar ini yang merayau-rayau di kawasan kampung tetapi baharu tahun ini, haiwan tersebut didapati mula bertindak ganas yang sekali gus menyebabkan hampir 10 buah keluarga di sini merasa terancam," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!