X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

AUKUS: PH persoal tujuan Hishammuddin dapatkan pandangan China

A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu dilihat berkecuali, dan tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar berhubung kontroversi Pakatan tiga hala AUKUS, kata Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (JKPH).

Dalam satu kenyataan hari ini, jawatankuasa itu berkata, cadangan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Rabu yang mahu mendapatkan pandangan China telah menimbulkan persepsi terhadap pendirian Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, persepsi yang ditimbulkan seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

“Cadangan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada hari Rabu berkenaan lawatan kerja ke China bagi membincangkan pakatan AUKUS (Australia,United Kingdom, dan Amerika Syarikat) dilihat agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada China.

“Beliau berkata, kita (Malaysia) perlu mendapat pandangan kepimpinan China, khususnya dalam aspek pertahanan, berhubung AUKUS,” menurut jawatankuasa itu lagi.

JKPH berkata mereka telah menzahirkan kebimbangan bahawa perjanjian itu telah meningkatkan suhu geopolitik di rantau ini.

Kerajaan Indonesia juga berkongsi pendirian yang sama.

Biarpun pendirian rasmi kerajaan Malaysia seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri, dan Menteri Pertahanan yang menyatakan kebimbangan bahawa AUKUS bakal mencetuskan persaingan senjata di rantau ini adalah selari dengan pendirian Pakatan Harapan, jawatankuasa itu berkata, kenyataan Hishammuddin adalah salah sama sekali.

“Malaysia dipandu oleh Kertas Putih Pertahanannya yang telah diluluskan di Parlimen secara dwipartisan pada 2 Disember 2019.

“Salah satu daripada lima prinsip asas pertahanan yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan adalah 'Keneutralan aktivis' iaitu 'mengamalkan dasar berkecuali dan mempromosikan kerjasama dengan memberi penekanan terhadap keterangkuman dan perkongsian kemakmuran, seiring dengan perkongsian keselamatan dan perkongsian identiti',” menurut kenyataan itu lagi.

JKPH berkata, keneutralan aktivis tidak bermaksud Malaysia berpeluk tubuh apabila ada percubaan untuk menjejaskan kedaulatan negara dan sikapnya untuk berkecuali.

Malaysia, tegas jawatankuasa itu lagi, seharusnya bersuara lantang terhadap kuasa Barat sekiranya berlakunya persaingan senjata di rantau ini.

“Pada masa yang sama, Malaysia juga perlu mempengaruhi China secara aktif supaya menghormati kedaulatan negara-negara serantau, serta peranan ASEAN di rantau ini.

“Kita tidak boleh dilihat memihak dan memberi gambaran bahawa Malaysia menerima arahan daripada mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu lagi. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!