CBP teruskan program Kotak Rezeki CB-Prihatin hingga Disember

Kamari Zaman (tengah) bersama pegawai CBP dan penerima program Kotak Rezeki CB-Prihatin.
Kamari Zaman (tengah) bersama pegawai CBP dan penerima program Kotak Rezeki CB-Prihatin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Co-opbank Pertama (CBP) akan meneruskan siri program Kotak Rezeki CB-Prihatin sepanjang Oktober hingga Disember tahun ini bagi membantu golongan asnaf, fakir, miskin dan B40 yang menetap berhampiran cawangan CBP.

Sebelum ini, agihan kotak rezeki itu dibuat menerusi 12 cawangan CBP terpilih di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sepanjang Ogos dan September membabitkan peruntukan wakalah zakat perniagaan CBP sebanyak RM120,000 sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Pengerusi CBP, Kamari Zaman Juhari berkata, objektif utama penganjuran program adalah melaksanakan tanggungjawab sosial CBP kepada komuniti yang memerlukan bantuan terutama golongan asnaf, fakir, miskin serta golongan B40 yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, menurutnya, ia juga bertepatan dengan hasrat untuk merealisasikan semangat Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia ke-58 pada tahun ini.

"Lebih daripada 2,000 ketua keluarga yang dikenal pasti melalui kerjasama dengan ketua masyarakat setempat menerima manfaat program ini.

"Walaupun terkesan dengan penularan Covid-19, CBP tetap meneruskan usaha untuk melaksanakan tanggungjawab sosial membantu masyarakat kerana CBP sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan responsif terhadap kebajikan golongan yang memerlukan," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain program Kotak Rezeki CB-Prihatin, CBP juga aktif melaksanakan tanggungjawab sosialnya menerusi program CSR Kembali Ke Sekolah dan sumbangan peranti tablet kepada sekolah terpilih di seluruh negara sebelum ini.

Artikel Berkaitan: