Brahim's mahu tamatkan status PN17 secepat mungkin

A
A

BRAHIM'S Holdings Bhd (BHB) menyasarkan untuk keluar daripada status Syarikat Nota Amalan 17 (PN17) seberapa segera selepas disenaraikan pada kedudukan itu, minggu lepas.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, syarikat itu akan mengemukakan pelan komprehensif yang turut membabitkan perbincangan strategik dengan rakan niaga bagi menyemak semula struktur modal dan perniagaannya dalam usaha mematuhi ketetapan penyenaraian Bursa Malaysia.

“Kami tidak merancang untuk dinyahsenarai dan berazam untuk keluar daripada status PN17 berkenaan.

“Kami juga berada dalam perniagaan yang tepat dan sebagai penggiat utama halal global, kami mahu memberi jaminan kepada pemegang saham, pelanggan, pembekal, rakan usaha saham dan pekerja bahawa operasi perniagaan tidak terjejas dengan status itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, syarikat itu akan turut mendapatkan pandangan penasihat prinsipal bagi merangka serta mengemukakan pelan regularisasi dalam tempoh tiga bulan akan datang serta membuat pengumuman sewajarnya selepas itu. - Bernama