Tamatkan PDP tanpa sukuk, bon sukarkan pembinaan Pan Borneo

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

KOTA KINABALU - Tindakan kerajaan terdahulu membatalkan Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi pembinaan lebuh raya Pan Borneo di Sabah tanpa terlebih dahulu mendapatkan sukuk atau bon, menimbulkan kesukaran dalam pelaksanaan projek itu terutama bagi aspek pembiayaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dengan ketiadaan sukuk atau bon, pembiayaan projek itu kini terpaksa bergantung kepada peruntukan pembangunan daripada kerajaan Persekutuan.

“Sarawak mereka batalkan PDP tetapi mereka sudah dapatkan sukuk atau bon untuk projek itu, tetapi di Sabah terbalik mereka tidak teliti dan kaji, batal PDP tetapi sukuk atau bon belum diurus...apabila tinggal peruntukan pembangunan, Pan Borneo tidak dapat dibangunkan menyeluruh.

“Ada kira-kira RM1 bilion satu tahun (peruntukan pembangunan) untuk bangunkan projek ini...saya kira-kira jika cara ini 45 tahun pun belum tentu projek ini boleh siap untuk dinikmati rakyat kita,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Beliau mengulas dakwaan tiga Ahli Parlimen DAP iaitu Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Noorita Sual (Tenom) dan Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), yang mendakwa Bung Moktar mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan Pakatan Harapan memotong bajet projek itu ketika membahaskan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertuan Agong pada 21 Sept lepas.

Mengulas lanjut mengenai dakwaan itu, Bung Moktar berkata, beliau sedia menerangkan lanjut mengenai projek itu di Dewan Rakyat, bagi memastikan semua pihak faham apa yang terjadi dan memastikan projek berkenaan berjalan dengan lancar.

“Saya tidak mengelirukan Dewan Rakyat, mereka sebenarnya yang menipu...jangan bimbang saya akan jawab mereka di Parlimen, apa yang penting sekarang tanggungjawab kita bangunkan projek ini dengan lancar dan cepat untuk rakyat kita di Sabah,” katanya.

Bung Moktar pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah Khamis lepas (23 Sept) dilapor berkata projek itu mempunyai tiga fasa iaitu melibatkan pembinaan keseluruhan sepanjang 1,236 kilometer (km) dengan kos RM40.2 bilion.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata fasa satu projek itu yang melibatkan 35 pakej telah siap proses reka bentuk membabitkan pembinaan sejauh 706km dengan kos RM15.2 bilion dan 15 pakej dalam peringkat pembinaan pada masa ini, melibatkan 317.6km dengan kos RM7.98 bilion di bawah pembiayaan kerajaan Persekutuan. - Bernama