Cabaran TVET perlu diatasi

Dua pelajar Unimap sedang menggunakan kemudahan peralatan yang disediakan di universiti itu. (Gambar kecil, Mohd Firdaus)
Dua pelajar Unimap sedang menggunakan kemudahan peralatan yang disediakan di universiti itu. (Gambar kecil, Mohd Firdaus)
A
A
A

CABARAN dalam mengarusperdanakan program-program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam sistem pendidikan negara masih wujud terutamanya melibatkan persepsi dan stigma masyarakat di negara ini.

Penyelaras Unit Promosi dan Pemasaran, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Firdaus Omar berkata, ia merupakan satu kerugian walhal pada setiap tahun negara memperuntukkan sejumlah dana untuk program-program berkaitan pemerkasaan TVET.

Menurutnya, kerajaan telah peruntukan sebanyak RM29 juta melalui Belanjawan 2021 bagi melaksanakan program-program TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Namun katanya, inisiatif kerajaan ini dilihat belum mencapai objektifnya kerana kemasukan pelajar ke universiti bagi peringkat ijazah sarjana muda masih lagi pada tahap rendah.

“Kebanyakan masyarakat masih lagi beranggapan TVET adalah pendidikan kelas kedua.

“Kesukaran mendapatkan pelajar di peringkat sekolah menengah bagi menyambung pembelajaran ke peringkat sijil dan diploma di kolej-kolej vokasional dan institusi-institusi TVET masih berlaku terutamanya melibatkan program-program teknologi.

“Jika ada pun hanya pelajar yang keciciran dan berprestasi rendah disarankan untuk menyambung pengajian dalam aliran ini,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Unimap, baru-baru ini.

Mohd Firdaus berkata, terdapat juga pelajar lepasan diploma TVET tidak yakin untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya kerana merasakan tiada universiti yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Artikel Berkaitan:

Kemahiran dalam mengguna peralatan mesin mejadi salah satu kelebihan kepada pelajar Unimap.
Kemahiran dalam mengguna peralatan mesin mejadi salah satu kelebihan kepada pelajar Unimap.

Jelasnya, di bawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), terdapat empat universiti yang menawarkan program ijazah sarjana muda khusus kepada pelajar lepasan diploma TVET.

Antaranya, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).Isu tadbir urus

Isu melibatkan tadbir urus yang tidak selaras terutamanya berkaitan takwim akademik pelajar untuk lepasan diploma TVET perlu ditangani.

Ketidakselarasan kalendar akademik ini sedikit sebanyak akan merencatkan kemasukan pelajar ke universiti awam melalui sistem kemasukan berpusat iaitu UPUOnline.

“Baru-baru ini kita dimaklumkan ada pelajar lepasan Diploma Vokasional Malaysia (DVM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) terlepas daripada mengisi sistem UPUOnline kerana masih dalam tempoh pembelajaran ketika sistem permohonan dibuka.

“Ini sekali gus merugikan masa pelajar kerana mereka terpaksa menanti untuk permohonan yang akan datang.

“Selain itu, persiapan dan persediaan pelajar seperti pencapaian Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) juga perlu diselaraskan di peringkat pengajian diploma agar memudahkan permohonan pelajar melalui sistem UPUOnline,” tegasnya.

Sementara itu katanya, terdapat juga pelajar yang bimbang jika pendekatan pembelajaran di peringkat ijazah sarjana muda berbeza berbanding di peringkat diploma yang melebihkan elemen teori.

“Kita masih mengekalkan format pendekatan pembelajaran yang sama iaitu praktikal sebanyak 90 peratus manakala teori 10 peratus,” katanya.

Isu pensijilan akreditasi program-program TVET di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda turut menjadi sebahagian daripada cabaran berkenaan.

Menurut Mohd Firdaus, sebelum ini program-program teknologi yang ditawarkan di institusi TVET sukar mendapat pengiktirafan berikutan ketidakselarasan badan akreditasi iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kini dengan penubuhan Lembaga Teknologi Malaysia (MBOT), kita harap ia akan membantu dalam proses akreditasi program-program berteraskan TVET sekali gus memudahkan koordinasi dan pemantauan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Baginya, kesemua cabaran ini perlu diberi perhatian segera supaya hasrat kerajaan untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang 2030 dapat direalisasikan.

Jelasnya, Unimap sendiri menyediakan 800 tempat untuk diisi bagi 13 program Teknologi Kejuruteraan serta enam program teknologi khusus untuk pelajar lepasan DVM, DLKM dan DKM.

Enam program itu membabitkan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektonik Industri, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kimpalan, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pemesinan Industri, Ijazah Sarjana Muda Teknologi Automatif dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pembinaan Bangunan.

“Saya harap peluang ini tidak disia-siakan kerana semua universiti di bawah MTUN terutamanya Unimap mengalu-alukan kedatangan pelajar lepasan diploma TVET untuk mengisi kekosongan,” katanya.