X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Thailand percepat vaksinasi untuk guru, pelajar

Pelajar sekolah menengah dan vokasional dijangka lengkap divaksin menjelang 15 November. - Foto fail AP
A
A

BANGKOK - Thailand akan mempercepat pemberian suntikan vaksin Covid-19 terhadap guru serta pelajar sekolah menengah dan vokasional selaras dengan usaha kerajaan untuk membuka semula institusi pendidikan pada November.

Setiausaha Tetap Pendidikan Suphat Champatong berkata terdapat kira-kira 210,000 pendidik di seluruh negara yang belum divaksin.

"Kementerian Pendidikan telah membuat penyelarasan dengan Jabatan Kawalan Penyakit untuk memberikan vaksin Covid-19 kepada guru," katanya.

Suphat berkata pelajar sekolah menengah dan vokasional dijangka lengkap divaksin menjelang 15 November.

Menurutnya, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Thailand telah meluluskan rancangan untuk memberi vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dan Moderna kepada pelajar sekolah menengah dan vokasional, berusia antara 12 hingga 17 tahun.

"Kerajaan akan memperuntukkan vaksin yang mencukupi untuk pelajar.

"Kami menjangkakan pelajar akan lengkap divaksin pada 15 November dan kelas fizikal akan dibuka semula pada semester kedua tahun akademik 2021," katanya.

Minggu lalu, Jabatan Kesihatan Thailand memaklumkan sekurang-kurangnya 85 peratus pelajar, guru dan kakitangan sekolah mesti diberi vaksin sebelum sekolah dibuka semula untuk kelas bersemuka di wilayah zon merah gelap dan wilayah zon merah.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 12,697 kes baharu Covid-19 serta korban seramai 132 orang, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 1,537,310 dan 16,016 kematian. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!