Tangan ghaib tukar status sijil vaksin secara haram

Sijil vaksin yang tertera dalam telefon pintar indivdu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.
Sijil vaksin yang tertera dalam telefon pintar indivdu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan licik menukar status sijil vaksin digital secara haram diaplikasi MySejahtera bukan suatu perkara mudah kecuali jika melibatkan ‘tangan ghaib’ orang dalam.

Menerusi sumber dalaman, kegiatan tidak bermoral itu mungkin hanya boleh dilakukan oleh ‘orang dalam’ atau klinik swasta yang telah diberikan akses untuk menguruskan pemberian vaksin kepada orang ramai.

Ini kerana, sistem yang diguna pakai MySejahtera mempunyai ciri-ciri sistem keselamatan yang bukan senang untuk diceroboh terutama orang biasa.

Sumber berkata, perbuatan jenayah seumpama itu pastinya didalangi oleh klinik swasta yang telah mendapat kelulusan dan kebenaran daripada ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp) bagi menyuntik vaksin, seterusnya menaik status penerima vaksin pada aplikasi MySejahtera.

Difahamkan, PHCorp merupakan sebuah anak syarikat di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diberi kuasa untuk melantik mana-mana klinik swasta berkelayakan membantu kerajaan dalam proses pemberian vaksin.

“Kegiatan menaik dan menukar status pada sijil vaksin secara digital hanya boleh dilakukan oleh pihak yang telah diberi kuasa oleh PHCorp iaitu klinik-klinik swasta kerana segala maklumat vaksin dan data penerima ada pada pihak tersebut.

“Maka tidak semudah disangka sekiranya ada pihak yang mahu memuat naik status pada aplikasi MySejahtera, melainkan mereka mendapat kerjasama daripada ‘orang dalam’ di klinik swasta yang menguruskan proses pemberian vaksin,” jelasnya kepada kru Rasuah Busters.

Tambah sumber itu lagi, segala maklumat vaksin termasuk nombor siri dan vaksinator atau orang yang menyuntik vaksin akan dimasukkan di dalam data penerima vaksin.

Artikel Berkaitan:

Maka, kata sumber itu, suatu yang sukar dilakukan sekiranya mahu melengkapkan data di dalam sijil vaksin digital sekiranya maklumat tersebut gagal diperoleh.

Oleh itu, katanya, perbuatan memperoleh sijil vaksin secara haram dipercayai didalangi oleh ‘orang dalam’.

“Adalah sukar untuk orang awam melepasi atau menceroboh sistem yang ada kerana pelbagai ciri keselamatan diguna pakai sebelum satu-satu sijil vaksin digital berjaya dimuat naik kepada penerima.

“Saya tak fikir ia boleh dilakukan oleh orang awam, melainkan ia didalangi oleh sindiket dan pihak yang pakar dalam teknologi maklumat (IT),” jelas sumber itu.