KPM perlu fokus pembelajaran subjek teras

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan guru bersetuju dengan saranan supaya bilangan subjek dan sukatan pelajaran untuk murid sekolah rendah dikurangkan bagi memastikan murid tidak lagi terbeban.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya menfokuskan kepada pembelajaran subjek teras.

Beliau mencadangkan supaya pendidikan sekolah rendah tertumpu kepada subjek bahasa, matematik, sains, adab, jati diri dan kreativiti.

“Jadi, kalau kita tumpukan kepada lima subjek utama ini, saya rasa murid tidak lagi terbeban dengan rangkuman subjek yang terlalu banyak.

“Kalau kita tengok negara-negara maju khususnya Korea, Jepun dan Singapura, subjek mereka tak banyak.

“Di peringkat sekolah rendah, mereka lebih menumpukan kepada subjek-subjek teras dan juga pembinaan jati diri yang baik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, sistem pendidikan sekolah rendah ketika ini terlalu terikat dengan kandungan buku teks untuk memenuhi keperluan peperiksaan.

Katanya, keadaan itu menjadikan proses pembelajaran murid terlalu berat dan tidak menyeronokkan disebabkan wujud tekanan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu sama, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik berkata, subjek yang diajar di peringkat sekolah rendah tidak perlu terlalu banyak, asalkan murid boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) serta fardu ain.

“Namun, 3M ini biarlah merentasi kurikulum iaitu ada ilmu, kemahiran dan nilai untuk membina karakter. Jadi, tak perlulah subjek sivik atau subjek-subjek lain yang tidak berapa penting,” katanya.