X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Pengurangan subjek wajar dilaksanakan sekarang

A
A

SHAH ALAM - Syor agar bilangan subjek untuk murid sekolah rendah dikurangkan dilihat wajar dilaksanakan sekarang ketika negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Pakar pendidikan, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, hanya subjek asas sahaja patut diutamakan untuk diajar di sekolah saat ini.

“Saya setuju dengan cadangan itu kerana sudah dua tahun anak- anak tidak mendapat pendidikan secara bersemuka di sekolah.

“Buat masa ini kita kena utamakan subjek teras dan selepas keadaan kembali normal, kerajaan boleh meneliti tentang penjajaran semula mata pelajaran ini,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat tentang saranan Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad agar bilangan subjek murid sekolah rendah dikurangkan atau dijajarkan semula demi melahirkan generasi yang kreatif, inovasi dan berdaya maju.

Katanya, sistem pendidikan sekolah rendah ketika ini terlalu terikat dengan kandungan buku teks semata-mata untuk memenuhi keperluan peperiksaan.

Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, sekiranya jumlah subjek itu dikurangkan, ia tidak bermakna murid tidak belajar secara menyeluruh.

Ujarnya, beberapa subjek mungkin boleh digabungkan dengan memberi tumpuan kepada topik yang benar-benar penting untuk dipelajari.

“Mungkin daripada 17 subjek sedia ada, ia boleh dikurangkan menjadi 10 subjek,” katanya.

Kok Seong berkata, seiring dengan pengurangan jumlah subjek itu, penekanan harus diberi bersesuaian dengan pengajaran dan pembelajaran abad ke-21.

Menurutnya, guru-guru boleh dilatih semula dengan kemahiran pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 selaras kemajuan teknologi digital ketika ini.

“Pembelajaran menggunakan medium komputer dan gajet harus dipertingkatkan. Corak pembelajaran akan lebih bersifat terbuka dan digital,” ujarnya.

Senada dengan Kok Seong, Pensyarah Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Intan Farahana Abdul Rani berkata, jumlah subjek murid sekolah rendah itu wajar diberi pertimbangan semula.

“Penawaran subjek itu untuk apa? Adakah untuk memenuhi keperluan kurikulum atau menyediakan generasi depan untuk kemahiran kelangsungan hidup.

“Adakah penerapan itu bagi menilai pencapaian untuk dapat A peperiksaan atau nak sediakan generasi depan lebih kepada persediaan survival,” katanya.

Kata beliau, ketika Covid-19 ini pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi murid dalam mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita juga tak tahu di masa hadapan cabarannya bagaimana. Jadi persediaan generasi sekarang ini bukan sekadar perlu kepada IQ (kecerdasan minda) semata-mata tetapi penerapan dari segi EQ (kecerdasan emosi) itu sendiri maksudnya dari segi untuk mendepani arus teknologi,” katanya.

Cadangan berkenaan turut disokong pakar dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran.

Beliau berkata, tumpuan yang perlu diberikan kepada murid sekolah rendah terutama pada tahap satu membabitkan murid Tahun Satu hingga Tiga adalah tentang kemahiran insaniah merangkumi aspek sosial, emosi dan pembinaan keyakinan diri.

“Kalau kita bandingkan apa yang murid belajar sekarang dengan apa yang kita belajar dulu, apa yang kita belajar masa Tahun Enam dah diajar di Tahun Tiga sekarang. Ia seolah-olah mentaliti kita lagi cepat budak-budak ini belajar lagi bagus dan lagi ke depan,” katanya.

Bagaimanapun, sebenarnya keadaan itu tidak bagus kerana perkembangan kanak- kanak ada kerangka masanya.

Katanya, kita tidak boleh beranggapan lagi cepat murid belajar, mereka lebih bagus kerana ia sebenarnya bukan sedemikian.

“Saya ambil contoh mudah, mak ayah sangat obses nak anak membaca pada umur tiga, empat, lima tahun. Sebenarnya pada usia sebegitu tak perlu belajar membaca sebaliknya perlu belajar mengenal diri sendiri.

“Kita fikir bila dewasa, mereka akan belajar cari diri sendiri tetapi sebenarnya ia bukan begitu. Nak kenal jati diri pada usia tiga, empat, lima tahun,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!