X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Kelantan United tempah slot terakhir Piala Malaysia

Pemain-pemain Kelantan United sebelum perlawanan menentang Kuching City FC dalam aksi terakhir Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, pada Jumaat. - Foto FB Kelantan United Football Club
A
A

KELANTAN United FC menempah slot terakhir saingan Piala Malaysia selepas menewaskan Kuching City FC 3-1 dalam aksi terakhir Liga Premier di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, dekat sini, pada Jumaat.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor mengetepikan PDRM FC daripada saingan Piala Malaysia musim ini dengan kelebihan jaringan selepas masing-masing berkongsi 26 mata.

Dalam saingan Piala Malaysia, Kelantan United akan beraksi dalam Kumpulan C bersama Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC dan juara Liga Premier musim ini, Negeri Sembilan FC.

Sang Kijang Hijau, yang memerlukan kelebihan dua gol untuk mengecewakan PDRM FC untuk mara ke Piala Malaysia, menguasai perlawanan dan memperoleh gol pertama menerusi rembatan kencang Shaizi Iqmal Md Khirudin dalam kotak penalti pada minit ke-19.

Tanpa menunggu lama, penyerang import kelahiran Gambia Alfusainey Gassama menggandakan jaringan dua minit kemudian selepas menerima hantaran kemas daripada Mohamad Amirul Shafik Che Soh untuk menewaskan penjaga gol Mohd Iqbal Suhimi.

Turun sebagai tuan rumah, Kuching City FC dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil G Ponnggiannan pada minit ke-27 apabila Evan Wensley Wenceslaus menjatuhkan Mohamad Zainudin Bohri di kotak penalti, sekali gus menjaringkan gol pertama menerusi Michael Chukwubunna Ijezie.

Kelantan United mengukuhkan kedudukan selesa 3-1 apabila kapten pasukan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi berjaya melakukan sepakan percuma dari jarak 25 meter untuk menewaskan Mohd Iqbal pada minit terakhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Kelantan United tetap meneruskan momentum untuk menambah jaringan tetapi gagal menyempurnakan peluang terhidang.

Kuching City FC, yang sudah pun layak ke Piala Malaysia, gagal melepasi benteng pertahanan pasukan lawan dalam usaha merapatkan jurang jaringan sehingga tamat perlawanan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!