Vaksinasi Remaja di Miri bermula Sabtu

JPBB Miri akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun di Bahagian Miri bermula Sabtu.Gambar hiasan
JPBB Miri akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun di Bahagian Miri bermula Sabtu.Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri akan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja berusia antara 12 dan 15 tahun di Bahagian Miri bermula Sabtu.

JPBB Miri dalam kenyataan pada Jumaat berkata, jadual pelaksanaan pemberian vaksin kepada golongan remaja berkenaan telah ditetapkan hasil perbincangan dan persetujuan Pejabat Pendidikan Daerah Miri, Subis dan Baram bersama-sama Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

“Pemberian suntikan vaksin bagi remaja berumur 12 hingga 15 tahun ini akan diadakan di semua PPV (pusat pemberian vaksin) awam di semua daerah dalam Bahagian Miri bermula 25 Sept, manakala bagi pelajar sekolah di kawasan pedalaman, suntikan akan diberikan di PPV Klinik Kesihatan ditetapkan, dan (perinciannya) akan dimaklumkan kemudian.

“Remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang tidak bersekolah lagi pula boleh mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus di mana-mana PPV Awam kecuali kawasan-kawasan pedalaman,” menurut kenyataan itu.

JPBB Miri turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga supaya menemani golongan remaja yang akan menerima vaksin serta membawa bersama borang persetujuan yang telah ditandatangani.

Jawatankuasa itu juga meminta ketua masyarakat mengenal pasti golongan remaja yang tidak bersekolah lagi di kawasan masing-masing dan memberikan maklumat melalui borang disediakan Pejabat Daerah untuk tujuan diselaraskan dengan PICK.- Bernama

Artikel Berkaitan: