Op patuh diteruskan beri tumpuan gelembung pelancongan

Op Patuh akan diteruskan dengan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi sebelum ia diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan lain. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Op Patuh akan diteruskan dengan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi sebelum ia diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan lain. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Operasi Patuh (Op Patuh) akan diteruskan dengan tumpuan khusus terhadap pelaksanaan Gelembung Pelancongan Pulau Langkawi sebelum ia diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan lain, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ini untuk memastikan kejayaan pelaksanaan projek rintis itu dan memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara.

“Sejak Op Patuh dilancarkan pada Jun lepas, lebih 1 juta pemeriksaan dijalankan di seluruh negara antaranya terhadap 178,266 kilang; 79,974 tapak pembinaan; 1.5 juta premis perniagaan; dan 24,967 asrama penginapan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 7,410 kompaun dikeluarkan dan 4,440 premis diarah tutup,” katanya pada sidang media khas berkaitan penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini pada Jumaat.

Hamzah berkata, mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan (JKPS) prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 memutuskan, untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan pematuhan SOP secara bersepadu melalui Op Patuh.

Beliau berkata ia adalah untuk memastikan tiada pihak mengambil mudah mengenai pematuhan SOP ketika negara beralih ke fasa endemik.

Sementara itu, Hamzah berkata JKPS memandang serius laporan analisis mobiliti aplikasi MySejahtera yang mendedahkan sebanyak 523 ‘check-in’ dikenal pasti dalam kalangan kes positif Covid-19, yang diberikan perintah ‘Home Surveilance Order’ (HSO).

“Menurut data yang diperolehi, sebanyak 18 peratus kes itu dikesan di pasar raya. JKPS telah meminta pihak Kementerian Kesihatan untuk menyalurkan maklumat berhubung pelanggaran perintah HSO secara serta merta, kepada pihak polis bagi tujuan penguatkuasaan di lapangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hamzah berkata, melalui maklumat itu, pihak berkuasa seperti polis dapat diatur gerak terus ke lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan penguatkuasaan berdasarkan undang-undang sedia ada.

Selain itu, pihak premis yang didapati membenarkan individu yang melanggar perintah HSO memasuki premis mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang, katanya. - Bernama