X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Jemaah Menteri setuju teruskan rayuan isu kewarganegaraan

Hamzah Zainudin
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri bersetuju untuk meneruskan rayuan dan permohonan penangguhan pelaksanaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung isu kewarganegaraan automatik.

Mahkamah Tinggi pada 9 September lalu membenarkan kewarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan itu bagi membolehkan kerajaan tidak dikenakan tindakan penghinaan mahkamah dan pada masa yang sama mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, terdapat dua keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang berbeza, iaitu kes Suriani Kempe bersama enam lagi lawan Kerajaan Malaysia dan kes Mahisha Sulaiha Abdul Majeed lawan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bersama dua lagi mengenai pentafsiran bapa dalam Jadual Kedua Bahagian II Seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri tadi, kita menjemput Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bagi memberikan penjelasan. Jemaah Menteri telah meminta Peguam Negara untuk membawa isu berkenaan kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam tempoh waktu terdekat.

“Itu keputusan kita supaya selepas ini kita dapat kedua-duanya pemahaman Majlis Raja-Raja dan kabinet untuk membuat keputusan seterusnya,” katanya dalam Sidang Media Khas Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, keputusan dibuat setelah mengambil kira keputusan penghakiman yang berbeza dalam kedua-dua kes tersebut dan prosiding mahkamah dalam kes Mahisha Sulaiha yang masih berjalan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Dalam kes Mahisha Sulaiha yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Mei 2020, keputusan kes itu menyebelahi kerajaan dan telah dibuat rayuan olehnya kepada Mahkamah Rayuan manakala keputusan dalam kes Suriani Kempe bersama enam lagi tidak menyebelahi kerajaan.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, Manisha Sulaiha telah mengemukakan rayuan dan akan dibicarakan pada November ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!