Bekas menteri PH keluar surat sokongan kepada pemaju swasta

Menurut surat tersebut, rayuan dibuat selepas Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) menarik balik kelulusan pada November 2018. Gambar hiasan. - Foto sumber internet
Menurut surat tersebut, rayuan dibuat selepas Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) menarik balik kelulusan pada November 2018. Gambar hiasan. - Foto sumber internet
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang menteri pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan (PH) didapati memberikan sokongan menerusi memo daripada pejabat menteri kepada permohonan sebuah syarikat pemaju swasta untuk mendapatkan sebidang tanah di Kuala Lumpur walaupun ia bercanggah dengan polisi kerajaan PH pada ketika itu.

Berdasarkan surat yang dilihat Sinar Harian, permohonan tersebut dibuat oleh sebuah syarikat tersebut untuk mendapatkan kelulusan bagi memindahkan plot tanah di ibu negara pada 2019 bagi tujuan pembangunan bercampur.

Bagaimanapun, perkara tersebut bertentangan dengan polisi PH yang tidak membenarkan sebarang surat sokongan dari pejabat menteri.

Kandungan surat tersebut mendapati syarikat terbabit telah membuat permohonan berkenaan selepas PH mengambil alih pentadbiran negara.

Menurut surat tersebut, rayuan dibuat selepas Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) menarik balik kelulusan pada November 2018.

Jelas surat itu, pembangunan yang dicadangkan oleh syarikat tersebut terdiri daripada pangsapuri dan ruang komersial serta pembangunan rumah mampu milik.

Pembangunan tersebut dikatakan bertujuan untuk memenuhi aspirasi Kerajaan PH pada ketika itu untuk membina satu juta unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan menerusi surat yang bertarikh November 2019 itu.

Ekoran daripada itu, sepucuk surat darpada pejabat menteri berkenaan telah dikeluarkan pada Mac 2019.

Artikel Berkaitan:

Surat yang ditandatangani oleh setiausaha politik kepada menteri berkenaan telah menyokong permohonan yang dibuat oleh syarikat terbabit.

Bagaimanapun, sebuah portal berita melaporkan Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut, terdiri daripada penyokong parti dan ahli perniagaan bergelar Datuk.

Turut disebut dalam laporan itu ialah adik kepada bekas Perdana Menteri didakwa mempunyai kepentingan terhadap entiti tersebut.

Untuk rekod, Kerajaan PH telah memutuskan untuk melarang para menteri dan timbalan menteri daripada mengeluarkan surat sokongan untuk projek-projek kerajaan dan perkara-perkara yang mempunyai implikasi kewangan pada Jun 2018.