PJ City pertaruh kudrat lokal misi suku akhir Piala Malaysia

Maniam optimis Phoenix mampu layak sehingga ke suku akhir Piala Malaysia. -Foto PJ City FC
Maniam optimis Phoenix mampu layak sehingga ke suku akhir Piala Malaysia. -Foto PJ City FC
A
A
A

KETUA Jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC, P Maniam optimis pasukannya mampu layak sehingga ke suku akhir Piala Malaysia walaupun hanya bersandarkan kepada 100 peratus pemain tempatan.

Diundi dalam Kumpulan D bersama juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabah FC dan Kelantan FC (Liga Premier), skuad itu perlu berada pada kedudukan dua teratas dalam kumpulan untuk layak ke peringkat kalah mati buat kali pertama selepas kempen pada 2018 dan 2019 berakhir pada peringkat kumpulan.

Pada ketika mengakui JDT berada dalam kelasnya tersendiri, Maniam berkata, anak buahnya akan bermain habis-habisan berhadapan juara Liga Super lapan kali itu, dan memastikan tidak kehilangan mata ketika berhadapan Sabah dan Kelantan.

“Kami telah terkeluar pada peringkat kumpulan pada cubaan yang lepas, jadi kali ini kami benar-benar mahu melepasi peringkat kumpulan kali ini. Kami tahu JDT pasukan pilihan dan berhadapan mereka bukanlah suatu yang mudah.

“Namun saya pasti, pemain saya akan berikan yang terbaik, walaupun kami tiada pemain import. Kami mempunyai peluang yang baik untuk layak, jika kami bermain dengan terbaik dan mengikut rancangan permainan kami,” katanya pada Jumaat.

Walaupun pernah menewaskan Harimau Selatan itu 2-1 di Larkin ketika perlawanan Piala Malaysia 2018, namun agak malang bagi PJ City yang sebelum ini dikenali sebagai MIFA, apabila diundi dalam kumpulan yang sama dengan JDT dalam ketiga-tiga kempen Puala Malaysia dari 2018 hingga 2021, dengan edisi 2020 dibatalkan akibat pandemik Covid-19.

Skuad Phoenix itu akan memulakan kempen mereka dengan bertemu Sabah di Stadium Petaling Jaya City Council (MBPJ) pada Isnin, sebelum bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 30 September.

Walaupun telah mengatasi Sabah 1-0 dua kali dalam perlawanan Liga Super musim ini, Maniam agak gusar akan kehadiran ketua jurulatih baharu Sabah, Datuk Ong Kim Swee, yang mempunyai pengalaman luas sebagai jurulatih negara dan skuad Sukan SEA.

Artikel Berkaitan:

“Kini di bawah Kim Swee, mungkin falsafah dan sistem akan berbeza, jadi kami perlu berhati-hati dan tidak boleh ambil mudah. Bagaimanapun kami akan bermain cara kami,” katanya dan menambah, sebahagian pemain kini berhadapan dengan pelbagai kecederaan.

Ini termasuklah pemain berpengalaman Mahali Jasuli, K. Gurusamy, Jeremy Lim, S Subramaniam, Leslee Jesunathan, M Tamilmaran dan P Rajes. - Bernama