X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Rakyat Malaysia belanja RM14 bilion sebulan di Singapura

Sejak sempadan Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19, dianggarkan RM14 bilion dibelanjakan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu dalam masa sebulan.(Gambar hiasan) - Foto Bernama . S Dayalan (Gambar Kecil)
A
A

JOHOR BAHRU - Sejak sempadan Malaysia-Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19, dianggarkan RM14 bilion dibelanjakan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu dalam masa sebulan.

Pengerusi Persatuan Pekerja Malaysia di Singapura Negeri Johor, S Dayalan berkata, anggaran itu berdasarkan statistik 215,000 rakyat Malaysia yang masih bekerja dan tinggal di republik berkenaan.

"Disebabkan tidak dapat pulang, mereka perlu berbelanja di Singapura untuk menyara diri dengan anggaran 1,500 dolar Singapura sebulan.

"Berdasarkan kiraan itu, dalam tempoh setahun dianggarkan rakyat Malaysia di Singapura telah membelanjakan 4.5 bilion dolar Singapura atau bersamaan kira-kira RM14 bilion," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Taman Tampoi utama, di sini pada Jumaat.

Sempadan Malaysia-Singapura yang merupakan antara sempadan negara paling sibuk di dunia masih tidak dibuka sepenuhnya sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Pada Khamis, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad memberitahu Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Johor bersetuju mengangkat cadangan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan sempadan Malaysia-Singapura untuk 'Daily Commuting Arrangement' (DCA) kepada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik.

Hasni dilaporkan berkata, SOP itu akan dikemukakan untuk menilai persediaan membenarkan pekerja Malaysia di Singapura berulang-alik sekiranya keputusan pembukaan semula sempadan mencapai kata sepakat.

Mengulas lanjut, Dayalan berpendapat, kerajaan Singapura tidak terdesak membuka sempadan kerana republik itu sedang mendapat limpahan ekonomi daripada perbelanjaan rakyat Malaysia yang kini 'terkurung' di sana.

Justeru, beliau meminta kerajaan Malaysia perlu mendesak agar sempadan Malaysia-Singapura dibuka sepenuhnya dengan segera.

"Ketika sempadan itu ditutup dahulu, dunia masih belum tahu bagaimana ancaman Covid-19 dan apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk menanganinya.

"Kini setelah setahun lebih, semua pihak sudah sedar akan SOP yang perlu dipatuhi selain majoriti rakyat kedua-dua negara sudah divaksin," katanya.

Pembukaan sempadan itu katanya, bukan sahaja akan memberi kelegaan kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi juga membawa limpahan ekonomi kepada negara ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!