Geng pecah rumah, kilang tumpas

Afazanizar (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas dalam sidang media yang diadakan di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.
Afazanizar (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas dalam sidang media yang diadakan di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.
A
A
A

MELAKA - Polis Daerah Melaka Tengah berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan pecah kilang dikenali sebagai Geng Arab Batu Hampar dan Geng Sugu Batu Berendam yang dipercayai bergiat aktif di negeri ini sejak awal tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afazanizar Ahmad berkata, ia hasil penubuhan pasukan khas di bawah Jabatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah yang dinamakan House Breaking And Theft (HBT) sejak awal tahun ini.

Menurutnya, daripada hasil soal siasat dan risikan sejak dua bulan lalu, polis berjaya menahan beberapa ahli kumpulan geng terbabit di sekitar negeri ini.

“Bagi kumpulan Geng Arab Batu Hampar polis telah menahan enam orang lelaki berusia antara 26 hingga 36 tahun di sekitar negeri ini termasuk ketua kumpulan berkenaan dikenali sebagai Arab berusia 26 tahun yang ditahan pada 15 Februari lalu, jam 11 malam diikuti beberapa siri tangkapan lain membabitkan lima lagi ahli kumpulan itu.

“Beberapa barangan turut dirampas melibatkan tiga motosikal, sebuah kereta jenis Perodua Kancil, tiga televisyen, enam komputer riba, dua Ipad, satu peti besi, tujuh jam tangan dan dua beg tangan yang dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya dalam sidang media di IPD Melaka Tengah di sini, hari ini.

Afzanizar(kanan) menunjukkan sebahagian motosikal yang dirampas.
Afzanizar(kanan) menunjukkan sebahagian motosikal yang dirampas.

Jelas beliau, kumpulan ini menyasarkan rumah tidak berpenghuni pada waktu malam membabitkan kawasan bandar Melaka, Bukit Baru, Banda Hilir dan Batu Berendam selain turut terbabit dengan beberapa kes curi motosikal.

“Dengan tertangkapnya kesemua mereka, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes yang berlaku membabitkan siasatan mengikut Seksyen 456, 379A, 411 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

“Lima daripada enam yang ditahan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Sementara itu, Afzanizar berkata, polis turut menahan tiga lelaki berusia 39, 42 dan 46 tahun yang merupakan ahli Geng Sugu Batu Berendam dipercayai terlibat dalam beberapa siri kejadian pecah kilang di negeri ini sejak awal Januari lalu.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki yang ditahan ketika sedang memecah masuk sebuah kilang di Batu Berendam kir-kira jam 1 pagi pada 19 Februari lalu.

“Susulan daripada tangkapan itu, polis berjaya menahan dua lagi lelaki termasuk ketua kumpulan itu bernama Sugu, di Durian Tunggal kira-kira jam 7 malam pada 22 Februari lalu.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Kembara dan sebuah motosikal Yamaha RXZ dan hasil pemeriksaan terhadap kesemua suspek, mereka didapati positif dadah,” katanya yang menjelaskan kes disiasat mengikut 457 Kanun Keseksaan.