X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Sela masa dos kedua AstraZeneca dipendekkan ke enam minggu

Gambar hiasan. - Foto Reuters
A
A

PUTRAJAYA - Tempoh penerima dos pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca menerima suntikan dos kedua kini dipendekkan kepada enam minggu berbanding sembilan minggu sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika mengumumkan perkara itu berkata, pelaksanaan memendekkan tempoh itu akan bermula 1 Oktober.

"Ia adalah untuk memberi kemudahan kepada mereka yang sudah mendapat dos pertama AstraZeneca, mereka boleh terima dos kedua selepas enam minggu," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di sini pada Jumaat.

Pada Jun, KKM memendekkan tempoh pemberian dos pertama dan kedua vaksin AstraZeneca daripada 12 minggu kepada sembilan minggu.

Sebelum ini, penerima vaksin itu terpaksa menunggu lebih lama bagi pemberian dos kedua selepas menerima dos pertama berbanding vaksin jenis lain.

Mengenai kes 'Long Covid' (simptom selepas sembuh Covid) yang terpaksa masuk semula ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Khairy berkata, memang terdapat kes pesakit yang hadir semula ke hospital setelah dibenarkan keluar hospital.

Bagaimanapun, katanya, tiada peningkatan ketara bagi kemasukan semula ke ICU dalam kalangan pesakit 'Long Covid' dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Beliau berkata, tiada klasifikasi khusus kematian akibat gejala 'Long Covid' kerana kematian direkodkan berdasarkan kepada punca kematian.

"Beberapa kajian sedang dijalankan bagi mengetahui dengan lebih lanjut isu ini dan keputusan kajian akan diumumkan apabila kajian selesai," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!