Covid-19: Tiga kluster baharu diisytihar di Sarawak

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Jumaat mengisytiharkan pengesanan tiga kluster baharu yang terdiri daripada dua kluster komuniti dan satu kluster tempat kerja.

JPBN Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, Kluster Sungai Merusa melibatkan penduduk sebuah rumah panjang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Sungai Merusa di Subis dengan 44 orang didapati positif termasuk kes indeks setakat ini.

“Kluster Kanawa Baram di Marudi membabitkan penduduk di sebuah perkampungan di bawah PKPD dengan 29 orang didapati positif termasuk kes indeks,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya Kluster Haidah di Bintulu pula melibatkan pekerja dan kru sebuah kapal logistik dan pengangkutan yang sedang berlabuh di pesisir pantai Bintulu dan dikuarantin, serta dikenakan PKPD dengan 92 orang didapati positif termasuk kes indeks setakat ini.

Sarawak pada Jumaat merekodkan 2,825 kes baharu Covid-19 dengan 99.54 peratus dikategorikan sebagai tidak bergejala dan bergejala ringan manakala 0.46 peratus lagi mengalami jangkitan paru-paru yang memerlukan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Jumlah kematian akibat jangkitan wabak itu meningkat kepada 739 selepas 14 kes kematian baharu dilaporkan, iaitu lapan kes dicatatkan antara 14 hingga 21 Sept, lima kes lagi direkodkan pada 22 Sept dan satu kes semalam (Khamis). - Bernama

Artikel Berkaitan: