PM dijangka ketengah tema 'dunia adalah keluarga' di UNGA

Muhammad Shahrul Ikram memberi taklimat mengenai penyertaan Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-76 (UNGA76) di Kementerian Luar Negeri hari ini. 

 - Foto bernama
Muhammad Shahrul Ikram memberi taklimat mengenai penyertaan Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung PBB Ke-76 (UNGA76) di Kementerian Luar Negeri hari ini. 

 - Foto bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan berucap pada sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada Sabtu (antara 11 malam hingga 1 pagi).

Ucapan sulungnya di UNGA itu akan disampaikan melalui rakaman video, bertemakan “Dunia adalah Keluarga” (the World is a Family) dan bagaimana "Keluarga Malaysia" akan bekerjasama dengan "keluarga dunia" untuk mengatasi dan pulih daripada pandemik Covid-19.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob, Perdana Menteri juga akan mengetengahkan mengenai diplomasi kesihatan yang merupakan satu daripada fokus utama kerangka dasar luar Malaysia.

"Perdana Menteri akan menyampaikan pendirian tegas negara terhadap isu-isu politik dan kemanusiaan termasuk isu Palestin dan Myanmar dan keprihatinan Malaysia terhadap perkembangan semasa di Afghanistan," katanya pada satu taklimat berhubung penyertaan perdana menteri di UNGA di sini Jumaat.

Muhammad Shahrul Ikram berkata, Perdana Menteri juga akan mengulangi pendirian, antara lain mengenai reformasi PBB, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Gencatan Senjata Global.

Perdana Menteri juga akan menyentuh mengenai hidup bersama secara aman untuk mengatasi cabaran ketidaksamaan, ketidakstabilan politik dan tadbir urus global, tambahnya.

Selain itu, Perdana Menteri akan berucap mengenai Sidang Kemuncak Sistem Makanan PBB pada Jumaat (Khamis waktu tempatan) juga melalui rakaman video yang menggupas mengenai pentingnya sistem makanan untuk mencapai SDG 2030.

"Dalam ucapannya Perdana Menteri antara lain menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan perhatian akan diberikan kepada petani-petani kecil yang mewakili 75 peratus pengeluaran makanan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah akan mewakili Malaysia dan menyampaikan ucapannya di mesyuarat High-Level Meeting to Commemorate and Promote the International Day for the Total Elimination of Nuclear Weapons pada 28 September melalui rakaman video.

"Di sini beliau akan mengulangi komitmen negara kita yang tidak berbelah bahagi terhadap pelucutan senjata nuklear dan akan terus bekerjasama erat dengan negara-negara lain untuk merealisasikan matlamat dunia yang bebas daripada ancaman senjata nuklear," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga menyeru negara anggota PBB meningkatkan tekad memperkuat kerjasama antarabangsa dan multilateralisme ke arah dunia yang aman, makmur serta mampan yang menyaksikan komuniti global hidup bersama aman dan damai.

Ketika ditanya samada Malaysia akan mengetengahkan mengenai kerjasama keselamatan melibatkan United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia atau AUKUS, beliau berkata, Saifuddin dijangka menyentuh mengenai pentingnya semua negara anggota PBB memperkukuh kerjasama untuk menstabilkan keselamatan global.

Muhammad Shahrul Ikram berkata, isu itu juga dibincangkan semasa Mesyuarat Menteri Luar ASEAN dengan AS pada malam Khamis. - Bernama