Remaja bersekolah diminta ikut jadual vaksinasi

No Image Caption
A
A
A

TANJUNG MALIM - Remaja bersekolah hanya dibenarkan mengambil suntikan vaksin Covid-19 mengikut jadual dan lokasi yang dimaklumkan oleh pihak sekolah, tegas Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata, remaja dari Sekolah Harian, Sekolah Pendidikan Khas dan Sekolah Antarabangsa perlu mengikut jadual vaksinasi sekolah masing-masing di pusat pemberian vaksin (PPV) yang ditentukan dan tidak dibenarkan mendapatkannya secara jumpa terus atau walk-in.

"Pihak sekolah akan memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga berkaitan jadual vaksinasi sekolah dan sila ikut jadual yang diberikan.

"Jangan serbu PPV Awam kerana vaksinasi secara jumpa terus ini hanya untuk remaja yang tidak bersekolah dan pelajar institusi pengajian tinggi," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Menurut, beliau ibu bapa dan penjaga perlu berperanan untuk memastikan jadual vaksinasi anak-anak kerana berlaku kesesakan di kebanyakan PPV berikutan kekeliruan dalam kalangan remaja bersekolah yang ingin mendapatkan vaksin secara jumpa terus.

Hang Soon berkata, bagi pelajar dari Sekolah Asrama Penuh, Sekolah Pendidikan Khas Berasrama dan Sekolah Asrama Harian pula, mereka akan menerima tarikh dan lokasi vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja telah dimulakan secara rasmi dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 tahun (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.

Langkah itu sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kewujudan kluster.

Artikel Berkaitan:

Sehingga Khamis, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku. - Bernama