Kompaun RM1,650 biar ternakan berkeliaran

Kambing yang ditangkap telah diserahkan kepada pemilik ternakan berkenaan. - Foto ihsan MDKP
Kambing yang ditangkap telah diserahkan kepada pemilik ternakan berkenaan. - Foto ihsan MDKP
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang penternak kambing dikenakan kompaun sebanyak RM1,650 oleh Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) selepas didapati membiarkan ternakannya berkeliaran.

Yang Dipertua MDKP, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pemilik haiwan berkenaan dikenakan tindakan kompaun dalam operasi dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan MDKP di Kampung Mungkal, Ulu Pilah pada Khamis kira-kira jam 4 petang.

"Sebanyak lima ekor kambing biri-biri ditangkap dalam operasi terbabit kerana didapati berkeliaran di jalan raya dan kawasan awam.

"Kesemua haiwan itu telah ditangkap dan disimpan di kandang sementara MDKP. Haiwan itu bagaimanapun telah dituntut pemiliknya pada Jumaat setelah membayar kompaun maksimum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Faizal berkata, kadar kompaun yang dikenakan itu termasuk kadar denda dan kos jagaan sehari.

Dalam pada itu, Mohd Faizal memberi amaran kepada penternak supaya menjaga ternakan masing-masing supaya ia tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain serta tidak mengotorkan jalan dan kemudahan awam.

"Saya berharap penternak mengambil perhatian berhubung perkara ini bagi mengelakkan tindakan lebih tegas selain denda maksimum RM1,000 bagi setiap seekor haiwan ternakan yang ditangkap sekiranya masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan: