X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Mesej 'coklat', bukan mahu kenakan Guan Eng: Saksi

Guan Eng tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di Pulau Pinang. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat diberitahu bahawa mesej WhatsApp di antara kontraktor projek terowong dasar laut Pulau Pinang, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan ahli perniagaan G. Gnanaraja tidak menujukkan bahawa mereka mahu mengenakan Lim Guan Eng.

Pegawai Penyiasat Bahagian Forensik Teknologi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Mohd Firdaus Wan Yusof, 33, berkata, hasil analisis ke atas mesej di telefon bimbit milik Gnanaraja, juga tidak mendapati sebarang unsur permusuhan di antara mereka (Gnanaraja dan Zarul Ahmad) dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes rasuah Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu bernilai RM6.3 bilion.

Saksi pendakwaan kelapan berkenaan sebelum itu membaca mesej WhatsApp bertarikh 18 Ogos 2017, iaitu Zarul Ahmad telah menghantar satu mesej kepada Gnanaraja, mengatakan “Super sir, I’ll bring your chocolate. Eastin?" dan Gnanaraja menjawab: "Ok Dato".

Wan Shaharuddin: Dalam mesej berkenaan adakah mereka berdua (Zarul Ahmad dan Gnanaraja) menyatakan mereka nak memberi duit kepada Lim? Wan Mohd Firdaus menjawab, “Tiada”.

Wan Shaharuddin: Hanya ada perkataan ‘coklat’ sahaja?

Wan Mohd Firdaus: Ya, betul.

Mahkamah juga mendengar kronologi pertemuan Lim, Zarul Ahmad dan Gnanaraja di kediaman Gnanaraja, pada 2 pagi, 29 Ogos 2017 sebelum beliau meminta Zarul Ahmad mengambil beberapa gambarnya bersama Guan Eng.

Semasa disoal balas peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, saksi itu berkata, berdasarkan komunikasi di antara Gnanaraja dan Zarul Ahmad juga menunjukkan mereka berdua kawan baik.

Gobind: Kamu tahu, Gnanaraja pernah dituduh di mahkamah berkaitan kes penipuan Zarul Ahmad? Wan Mohd Firdaus menjawab “Saya tak pasti”.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima wang rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Guan Eng didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town, antara Januari 2011 dan Ogos 2017.

Dalam pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh oleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur, pada Mac 2011.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, turut berdepan dengan dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 1 November ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!