Vaksin walk-in hanya untuk remaja tidak bersekolah

Pemberian vaksinasi remaja secara 'walk-in' hanya dibenarkan untuk mereka yang tidak bersekolah, sedang belajar di institut pengajian tinggi (IPT) dan ‘home schooling’. - Gambar hiasan
Pemberian vaksinasi remaja secara 'walk-in' hanya dibenarkan untuk mereka yang tidak bersekolah, sedang belajar di institut pengajian tinggi (IPT) dan ‘home schooling’. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekali lagi mengingatkan ibu bapa, penjaga supaya tidak bergegas ke pusat pemberian vaksin (PPV) bersama anak untuk vaksinasi kerana jadual janji temu telah dibuat dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemberian vaksinasi remaja secara 'walk-in' hanya dibenarkan untuk mereka yang tidak bersekolah, sedang belajar di Institut Pelajaran Tinggi (IPT) dan ‘home schooling’.

"Perkara ini telah ditegaskan oleh Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon semasa sesi sidang media pada Rabu.

"Seterusnya pihak pengurusan sekolah melalui guru akan memaklumkan jadual vaksinasi mengikut giliran sekolah kepada ibu, bapa atau penjaga.

"Ibu bapa atau penjaga mestilah membawa remaja mengikut tarikh janji temu yang ditetapkan. Kaedah vaksinasi berjadual dilakukan bagi mengelakkan daripada berlakunya kesesakan dan kluster jangkitan Covid-19," katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, bagi murid sekolah berasrama penuh dan harian, janji temu akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera di mana remaja akan divaksinkan di sekolah atau PPV berdekatan tempat tinggal mereka.

"Tunggu sehingga janji temu diberikan melalui MySejahtera.

"Saya juga ingin mengingatkan semua PPV yang terlibat, pihak PKD dan juga PPD supaya mengikut arahan atau ketetapan yang telah diumumkan berhubung kaedah pemberian vaksin kepada remaja.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon supaya tidak ada arahan atau prosedur operasi standard (SOP) yang berbeza diberikan kepada ibu bapa bagi mengelakkan kekeliruan," ujarnya.