X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Warga emas rugi RM52,000 ditipu sindiket penipuan pelaburan

Noorzainy
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian RM52,000 selepas diperdaya sindiket penipuan pelaburan di Bagan Ajam, Butterworth pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, warga emas berusia 72 tahun itu dipercayai ditipu oleh dua lelaki untuk menyertai pelaburan dalam bidang petroleum yang dianjurkan oleh lima buah syarikat pengeluar minyak dan gas di Malaysia.

Menurutnya, mangsa baharu mengenali dua individu terbabit di sebuah pasar raya di Bagan Ajam yang menawarkannya untuk menyertai pelaburan dan dijanjikan dengan pulangan tinggi.

"Dua lelaki itu menunjukkan video dan testimoni pelabur yang telah berjaya kepada mangsa selain mendapat keuntungan serta hadiah mewah berupa kereta dan wang tunai.

"Terpedaya dengan helah dua lelaki itu, mangsa kemudian menyerahkan wang tunai RM52,000 kepada suspek di sebuah bank di Seberang Jaya untuk tujuan pendaftaran namun tidak lama kemudian dua suspek itu menghilangkan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Noorzainy berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi tanpa sebarang semakan dan pemeriksaan menyeluruh.

Sementara itu dalam kes berasingan, Noorzainy berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang ahli perniagaan yang mengalami kerugian RM11,115 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian.

Beliau berkata, mangsa melihat iklan pinjaman itu di laman sosial dengan menawarkan kelulusan segera dah memberikan nombor telefonnya bagi mendapatkan maklumat lanjut.

"Mangsa telah dihubungi dua individu yang mendakwa mereka ejen sebuah bank tempatan dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM80,000 kepada mangsa.

"Mangsa diminta untuk membuat bayaran bagi menaikkan kredit skor bagi mendapat pinjaman berkenaan.

"Tanpa membuat sebarang semakan dengan pihak bank, lelaki itu membuat bayaran sebanyak RM11,115 kepada dua akaun yang diberikan suspek," katanya.

Jelasnya, mangsa hanya sedar ditipu selepas dia diminta membuat bayaran bagi meluluskan pinjaman itu pula.

Dalam pada itu, Noorzainy berkata, pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut terhadap dua kes berkenaan termasuk mengesan keldai akaun yang digunakan oleh suspek bagi memperdayakan mangsa dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!