Pendapatan pelaburan KWSP RM34.05 bilion

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah pendapatan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 25 peratus tahun ke tahun kepada RM34.05 bilion pada separuh pertama 2021.

Bagaimanapun, menurut KWSP, jumlah pendapatan pelaburan kasar untuk suku kedua adalah RM14.77 bilion, lebih rendah daripada RM15.12 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, KWSP mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama 2021, dipacu pemulihan progresif di pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas-kelas aset yang lain, dalam keadaan pasaran global mengalami kebangkitan semula.

“Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan untuk separuh kedua 2021 berjumlah RM7.89 bilion, yang merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada suku berkenaan, sebanyak RM0.21 bilion telah turun nilai bagi ekuiti tersenarai berbanding RM1.66 bilion pada suku kedua 2020 berikutan pemulihan pasaran global yang berterusan. Turun nilai kos adalah sebahagian daripada polisi dana persaraan ini untuk mengekalkan portfolio yang sihat.

KWSP berkata, selepas mengambil kira turun nilai kos ini, KWSP mencatatkan RM14.56 bilion pendapatan pelaburan bersih bagi suku itu dengan peningkatan lapan peratus daripada RM13.46 bilion pada tahun sebelumnya.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang RM5.28 bilion atau 36 peratus kepada jumlah pendapatan pelaburan kasar pada suku kedua 2021, lebih rendah berbanding RM6.17 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2020, berikutan pengurangan keuntungan dagangan.

Menurut KWSP, kepelbagaian pelaburan KWSP dalam pelbagai kelas aset, pasaran dan mata wang yang berbeza terus memberikan kestabilan pendapatan dan menyumbang nilai tambah kepada pulangan keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Aset pelaburan KWSP sehingga akhir Jun lepas berjumlah RM989.14 bilion dengan 37 peratus adalah pelaburan di luar negara.

Mengenai kemudahan i-Sinar dan i-Citra, sehingga kini, KWSP telah mengeluarkan sebanyak RM67.6 bilion untuk membantu ahli yang terjejas akibat pandemik.

Mengenai prospek bagi separuh tahun yang berikutnya, Amir Hamzah berkata, keberkesanan usaha pemulihan negara adalah bergantung kepada perkembangan situasi Covid-19 dalam masa terdekat.

“Walaupun kami yakin pakej rangsangan dan inisiatif kerajaan akan dapat membantu meningkatkan sentimen perniagaan dan permintaan dalam negeri, kami amat bimbang dengan keselamatan persaraan rakyat, terutamanya apabila 46 peratus ahli KWSP di bawah 55 tahun hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam simpanan mereka.

“Pandemik ini telah mengakibatkan kejatuhan yang ketara dalam peratusan ahli yang mencapai simpanan asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus kepada 27 peratus, susulan pengeluaran yang telah dibuat bagi menampung pendapatan mereka semasa krisis ini,” katanya.

Menurut beliau, pandemik ini turut menyebabkan peningkatan jumlah pekerja gig di negara ini.

“Walaupun ia membantu mereka untuk bertahan, ramai yang berhadapan dengan masalah ketidakcukupan simpanan persaraan akibat pendapatan yang tidak tetap atau stabil.

“Selain itu, manfaat pekerja dan liputan perlindungan sosial mereka juga bakal terjejas,” katanya.

Amir Hamzah berkata, strategi utama KWSP pada masa hadapan adalah untuk memastikan pekerja gig serta mereka yang bekerja dalam sektor tidak formal untuk diserap ke dalam Skim KWSP agar mereka turut berpeluang menabung seawal mungkin dan merancang persaraan. - Bernama