Saya sendiri 'tidur' di pasar raya: Khairy

Khairy ketika bercakap pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Khairy ketika bercakap pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mencari kaedah penyelesaian terbaik berhubung isu fungsi 'check out' di aplikasi MySejahtera.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ciri 'check out' bertujuan menerima maklumat lokasi lebih tepat supaya dapat mengetahui pengguna aplikasi MySejahtera berada di sesebuah lokasi bagi tempoh masa spesifik.

"Saya sendiri 'tidur' di pasar raya kerana terlupa untuk 'check out'," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya pada Jumaat.

Khairy juga menyedari komentar yang disuarakan rakyat berhubung perkara tersebut.

"Kita akan melihat apakah kaedah terbaik untuk memastikan ciri ini diguna dengan sempurna.

"Buat masa sekarang agak susah, kita sedang menyelesaikannya," katanya.

Sebelum ini, pengguna aplikasi MySejahtera mempersoalkan relevan fungsi 'check out' kerana ramai yang terlupa menekan keluar selepas selesai mengunjungi sesebuah premis.

Mengulas mengenai bayaran terhadap syarikat yang membangunkan aplikasi tersebut, KPISoft Sdn Bhd, Khairy berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan menilai kerja-kerja yang dijalankan syarikat berkenaan sebelum penentuan jumlah yang perlu dibayar dibuat oleh Perbendaharaan.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan minta MAMPU menilaikan kerja tersebut dan semua yang terlibat dalam aplikasi ini termasuk KKM, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi akan melihat nilai yang ditentukan," katanya.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat berkata, kerajaan akan mula membayar pembangun aplikasi MySejahtera mulai April dan seterusnya.

Ia selepas tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan syarikat itu selama satu tahun berakhir pada 31 Mac lalu.