Kembalikan kesejahteraan, angkat sektor swasta

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan akan mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara bagi mengurangkan kesan ekonomi berpanjangan akibat pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama berkenaan.

"Seperti yang saya nyatakan di Parlimen tempoh hari, kerajaan akan meneruskan dasar strategik untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli terutama isi rumah dalam kalangan B40.

"Bagi pelan jangka sederhana dan jangka panjang, program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan, menambah baik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan akan dilaksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Inisiatif Rumah Keluarga Malaysia atau Rumah Ikram Keluarga Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada Jumaat.

Turut sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Sri Dr Ismail Abd Muttalib dan Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Zainal Abidin bin Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pendekatan itu dilakukan kerana sejak Mac 2020 negara telah melalui satu fasa yang cukup perit dan memberi kesan amat mendalam kepada ekonomi, sosial dan psikologi rakyat.

"Saya sendiri melihat situasi ini dengan lebih dekat ketika diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan Pertahanan. Setiap hari kita berhadapan dengan keadaan dan persekitaran yang cukup berbeza, yang tidak pernah kita bayangkan apabila berhadapan dengan musuh yang tidak terlihat (atau the invisible enemy).

Artikel Berkaitan:

"Setiap hari kita belajar perkara baharu, bagaimana untuk menangani pandemik Covid-19 ini selain berusaha mencari langkah terbaik mengimbangi kesan ekonomi yang melanda negara sehingga menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Beliau menegaskan, impak yang dihadapi itu meliputi pelbagai sektor industri, khususnya perniagaan kecil dan sederhana, yang sangat terkesan.

"Bukan sedikit yang masih bergelut malah ada yang terpaksa gulung tikar. Saya menginsafi kepayahan, kesengsaraan dan keperitan hidup rakyat ketika negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini," katannya.

Ismail Sabri memberitahu, negara akan melalui fasa endemik di mana rakyat perlu hidup bersama-sama Cobid-19 dalam norma baharu dengan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, Malaysia kini telah berada pada landasan tepat ke arah pemulihan ekonomi negara.

"Sukacita ingin saya kongsikan, sehingga Rabu lalu, sebanyak 81 peratus populasi dewasa Malaysia telah divaksinasi melibatkan 18.9 juta individu.

"Pada masa yang sama, kerajaan juga memulakan vaksinasi kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan pembukaan sekolah di seluruh negara secara berperingkat," katanya.

Berdasarkan perkembangan yang sangat positif itu beliau menegaskan, kerajaan mula memberi kelonggaran kepada individu lengkap divaksinasi bagi melaksanakan aktiviti dalam sektor ekonomi dan sosial.

Katanya, yang penting dalam tempoh endemik ini adalah kawalan kendiri.

"Menjadi tanggungjawab kita semua, untuk memastikan segala aktiviti harian dilakukan mengikut pembudayaan norma baharu," katanya.