KKM berunding perolehan vaksin kanak-kanak bawah 12 tahun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat pengeluar vaksin Covid-19 untuk mendapatkan perolehan bagi vaksinasi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, syarikat berkenaan dalam proses membuat persiapan untuk menghantar data-data klinikal ke seluruh dunia termasuk Malaysia.

"Cuma mereka memerlukan sedikit masa, mungkin bulan depan mereka akan hantar data ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) agar pendaftaran dapat dibuat terhadap vaksin tersebut," katanya.

Menurutnya, KKM akan menilai data-data berkenaan apabila ia tersedia.

"Saya yakin mungkin ada syarikat lain juga yang akan berbuat sedemikian kerana ada beberapa syarikat yang telah melaksanakan ujian klinikal dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, strategi KKM yang baharu bukan untuk mengejar imuniti kelompok sebaliknya memberi perlindungan seramai mungkin terhadap rakyat dan penduduk di negara ini.

"Kita tidak mahu nanti apabila dewasa dan remaja dilindungi, tetapi tiba-tiba ada pandemik dalam kalangan kanak-kanak pula," katanya.

Khairy berkata, tindakan berhati-hati perlu dilakukan kerana pengoperasian sekolah tidak boleh dihentikan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi kita akan buat apa sahaja untuk pastikan persekitaran sekolah itu selamat untuk kanak-kanak sehingga mereka mendapat vaksin Covid-19," katanya.

Ditanya mengenai nama pengeluar syarikat vaksin tersebut, Khairy bagaimanapun enggan mendedahkannya.

"Kita akan umumkan apabila perjanjian dimeterai kelak," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar sama, beliau turut mengumumkan jarak masa bagi dos kedua vaksin AstraZeneca akan dipendekkan daripada sembilan kepada enam minggu mulai 1 Oktober depan.

"Ini bagi memberi kemudahan kepada mereka yang telah mendapat dos pertama AstraZeneca dan mereka boleh menerima dos kedua selepas enam minggu," katanya.